Permotoran

Tak perlu beri Hamilton layanan istimewa

Oleh Agensi

London: Eddie Jordan berkata jika diberi peluang dia akan menunjukkan Lewis Hamilton pintu keluar andai legenda Formula Satu (F1) itu menyukarkan perbincangan berhubung lanjutan kontrak baharu.

Malah bekas pemandu Ireland itu menegaskan juara dunia tujuh kali itu boleh digantikan dengan pemandu lain.

Hamilton, 36, secara teknikalnya tidak terikat dengan mana-mana pasukan pada masa ini selepas kontraknya bersama Mercedes berakhir 31 Disember tahun lalu.

Perbincangan mengenai lanjutan kontrak bernilai £40 juta (RM219.7 juta) setahun sedang berlangsung ketika ini.

Ketika pemenang anugerah Personaliti Sukan sebanyak dua kali itu dilihat akan kekal bersama Mercedes, Jordan kurang senang dengan cara Hamilton mengendalikan situasi itu.

Jordan menghabiskan masa selama 14 tahun sebagai bos pasukan F1 dan pernah mempunyai barisan pemandu ternama seperti Damon Hill dan Michael Schumacher.

Justeru itu, Jordan yang kini menggalas tugas selaku pengkritik di stesen televisyen percaya Hamilton tidak seharusnya diberikan layanan istimewa di sebalik kejayaan yang diraihnya.

Jordan memberitahu F1 Insider: "Saya mendengar yang Lewis mahukan lebih berbanding apa yang Mercedes tawarkan kepadanya.

"Ia juga mengenai berkongsi pendapatan pasukan dan mempunyai mereka yang mempunyai pengaruh di dalam pasukan.

"Jika saya menjadi bos Mercedes, saya akan menunjukkannya jalan keluar. Ia sama ada anda memandu jentera kami atau boleh pergi."

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 11:32am
d