Permotoran

Alasan Rossi

Oleh Agensi

Doha: Valentino Rossi menamatkan penampilan pertama bersama Petronas Yamaha pada sesi ujian rasmi MotoGP dengan hanya muncul pelumba ke-20 terpantas di Qatar.

Selepas meraih keputusan itu pada hari kedua sesi ujian masa, Rossi percaya mereka perlu kembali mengadakan perbincangan dan menggunakan pendekatan berbeza untuk sesi ujian terakhir.

"Sudah pasti kedudukan itu tidak bagus dan catatan sepusingan saya juga tidak baik. Saya tidak berasa selesa menunggang jentera ini.

"Pada hujung ujian, malangnya saya berdepan beberapa masalah dengan jentera, jadi tidak dapat melakukan catatan lebih baik.

"Jika tidak, saya pasti dapat memperbaiki catatan itu tetapi apapun, ia bukanlah masalah utama.

"Masalah paling utama ialah kami tidak begitu pantas. Jadi sekarang kami perlu melihat kepada data bersama pasukan dan cuba perkara yang berbeza untuk sesi ujian seterusnya," kata Rossi.

Pelumba berusia 42 tahun itu yang mencatat masa ke-14 terpantas pada hari pertama sesi ujian menambah: "Kami bergelut dengan tayar terutama aspek cengkaman.

"Kami mencuba beberapa perkara baharu tetapi akhirnya tidak menemui jalan penyelesaian.

"Kami akan berusaha untuk menjadi lebih kompetitif pada sesi ujian seterusnya."

Ketika Rossi bergelut, rakan sepasukannya, Franco Morbidelli muncul pelumba keempat terpantas.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 12:36pm
d