Permotoran

Hafizh Syahrin jual basikal untuk berlumba

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Mungkin terdesak dan memerlukan wang segera mendorong pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin menjual basikal kesayangannya dengan harga RM42,000.

Difahamkan menerusi laman instagram pelumba terbabit, basikal miliknya dibeli beberapa tahun lalu jenis Shiv TT dengan nilai pasaran dikatakan mencecah lebih RM70,000.

Basikal terbabit sering digunakan pelumba berasal dari Ampang itu untuk beriadah terutama selepas berakhir perlumbaan di luar negara.

"Untuk dijual TT Shiv kepunyaan saya…hanya 200 kilometer dan dijual dengan harga RM42000.. kepada berminat boleh mesej saya.

"Jual sebab nak race(lumba)," katanya.

Mengikut maklumat, basikal berkenaan dikeluarkan syarikat Specialized pada 2019 yang dikatakan lebih ringan daripada keluaran terdahulu dan mempunyai reka bentuk aerodinamik begitu baik.

Terdahulu, Hafizh mendapat perhatian ramai apabila pelumba itu 'meletup' menerusi Instagramnya dengan meluahkan kekecewaan apabila dikatakan isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf 'sangkut' seterusnya tidak boleh terbang ke Itali.

Hafizh juga pernah menggunakan platform Instagram meluahkan rasa tidak puas hati apabila dia terpaksa menjalani kuarantin di hotel dalam tempoh seminggu selepas pulang dari luar negara.

Dia yang menamatkan perlumbaan Moto2 Grand Prix (GP) Itali di kedudukan kesembilan, baru-baru ini juga pernah menyatakan terpaksa menggunakan wang saku sendiri untuk menampung perbelanjaan sepanjang menyertai kejohanan di luar negara.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 4:29pm
d