Permotoran

Norris menggigil, jam tangan disamun selepas final Euro

Oleh Agensi

London: Pemandu Formula Satu, Lando Norris berdepan detik cemas apabila jam tangannya disamun dalam satu insiden selepas perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley semalam.

Pelumba berusia 21 tahun itu tiba di kereta McLaren dekat kawasan parkir khas Stadium Wembley sebelum didatangi dua lelaki yang bertindak meragut jam tangannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan McLaren, Norris yang berada di kedudukan keempat dalam kejuaraan individu keseluruhan sebelum perlumbaan Grand Prix British minggu ini, tidak dicederakan tetapi menggigil ketakutan susulan kejadian itu.

Terdapat saksi yang menyaksikan kejadian itu, kini kes sini berada dalam siasatan pihak polis. Tiada barang berharga lain yang dicuri.

McLaren berkata: "Pasukan ini memberikan sokongan penuh buat Lando dan yakin seluruh peminat sukan permotoran akan menyertai kami untuk mendoakan yang terbaik buatnya menjelang Grand Prix British hujung minggu ini.

"Perkara ini kini dalam siasatan polis dan kami tidak boleh memberikan komen lanjut."

Norris hadir sebagai tetamu jemputan khas ke stadium juga akrab dengan beberapa pemain England. Pasukan Three Lions tewas kepada Itali pada perlawanan itu menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa tambahan.

Polis melakukan lebih 50 tangkapan di Wembley, semalam selepas pergaduhan sesama sendiri membabitkan penyokong dan pegawai, selain melakukan sekatan keselamatan sebelum bermula perlawanan.

Disiarkan pada: July 13, 2021 @ 6:53pm
d