Permotoran

Kos baiki jentera Verstappen RM7.5 juta

Oleh AFP

London: Bos Red Bull, Christian Horner berkata pasukannya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan £1.3 juta (RM7.5 juta) untuk membaiki jentera Max Verstappen selepas terbabit dengan kemalangan bersama Lewis Hamilton di Grand Prix British.

Verstappen dan juara dunia tujuh kali, Hamilton bertembung pada pusingan pertama perlumbaan minggu lalu di Silverstone.

Pemandu Belanda itu gagal meneruskan perlumbaan dan perlu diberi rawatan susulan selama enam jam di hospital manakala Hamilton muncul juara sekali gus membuka semula saingan gelaran juara dunia.

"Kemalangan itu menyebabkan kami perlu belanja AS$1.8 juta (RM7.5 juta) dan kemalangan seperti itu sememangnya memberikan kesan besar dalam bajet yang dihadkan ketika ini," kata Horner di laman web rasmi pasukan itu.

Horner juga mengkritik Hamilton kerana meraikan kejayaannya di podium, perlakuan yang sebelum itu sudah pun dilabel Verstappen sebagai tiada rasa hormat dan tiada semangat kesukanan.

Meskipun Hamilton dikenakan penalti 10 saat, kemenangannya menyaksikannya dapat mengurangkan jurang berbanding Verstappen selaku pendahulu dengan hanya lapan mata.

"Saya juga masih kecewa mengenai cara mereka meraikan kejayaan selepas kemalangan itu," kata Horner.

"Mercedes menyedari kesan besar kemalangan itu dan Max pula dilaporkan dikejarkan ke hospital dan memerlukan rawatan susulan.

"Adalah sesuatu yang tak dapat dibayangkan anda tidak memberitahu perkara itu kepada pemandu anda.

"Apatah lagi menasihatkannya untuk tidak terlalu meraikan kejayaan itu terutamanya selepas dia sendiri yang terbabit dengan kemalangan itu dan kemudian dikenakan penalti."

Disiarkan pada: July 24, 2021 @ 7:51am
d