Permotoran

F1 umum anugerah pelumba 'berani mati'

Oleh Agensi

London: Formula 1 mengumumkan anugerah baharu untuk pelumba yang paling banyak memintas pencabar lain dengan trofi istimewa akan diberikan pada penghujung musim ini.

Anugerah khas itu yang ditaja rakan penaja F1, Crypto.com akan dihadiahkan kepada pemandu paling 'berani mati' yang melakukan paling banyak aksi memotong sepanjang musim 2021.

F1 berkata anugerah kali pertama seumpamanya itu bagi meraikan pelumba yang bertindak berani ketika memburu kejayaan.

Menurut F1 lagi, pelumba Aston Martin, Sebastian Vettel kini paling banyak melakukan aksi berani itu selepas tamat 11 perlumbaan awal musim ini.

"Kami gembira dapat mengembangkan kerjasama dengan Crypto.com apabila memperkenalkan anugerah ini selepas kategori pecut F1," kata pengarah komersil F1, Ben Pincus.

"Anugerah itu juga sebagai pengiktirafan terhadap keberanian pelumba dalam merangka strategi kemenangan dan kualiti seperti ini diperlukan ketika kami berurusan dengan matawang kripto."kata CMO Cypto.com, Steve Kalifowitz.

"Musim ini kita menyaksikan banyak aksi pemintasan yang hebat oleh pelumba dan saya tak sabar untuk mengetahui juaranya.''

Anugerah terbaharu itu menambahkah lagi daya tarikan F1 selepas anugerah petak pertama Pirelli, pusingan terpantas DHL, pit stop terpantas dan pemandu terbaik perlumbaan.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 12:35pm
d