Permotoran

FIM MiniGP pentas gilap bakat pelumba muda

Oleh Saiful Affendy Sapran

Putrajaya: Peluang beraksi di pentas Eropah sekali gus membuka ruang untuk diketengahkan dalam kejohanan lebih berprestij.

Itu peluang keemasan yang hadir menerusi penyertaan Siri FIM MiniGP Malaysia 2021 anjuran bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang akan bermula hujung minggu ini.

Menerusi kejohanan itu, seramai 13 pelumba tempatan berusia antara 11 hingga 14 tahun akan bersaing dalam empat pusingan perlumbaan di Litar Kart Antarabangsa Sepang dengan tiga pelumba terbaik akan berentap dengan pemenang dari negara lain di pusingan terakhir Siri Dunia FIM MiniGP yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol pada 9 dan 10 November depan.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulhfami Khairuddin yang akan mengendalikan kejohanan itu berkata, semua pelumba akan menggunakan jentera Ohvale berkuasa 160cc.

"Pemilihan pelumba sudah dilakukan sejak Mac lalu dan sepatutnya memulakan perlumbaan ini lebih awal tetapi oleh kerana pandemik Covid-19, mereka tidak boleh berlumba.

"Jika diikutkan, kami perlu habiskan perlumbaan ini pada 17 Oktober tetapi FIM menerima permohonan kami untuk habiskan perlumbaan pada 24 Oktober.

"Sebagai individu yang bertanggungjawab mengendalikan perlumbaan ini, sudah tentu saya mahu melihat lebih ramai pelumba berbakat lahir daripada program ini.

"Separuh daripada mereka ini tidak pernah berlumba di kejohanan yang diiktiraf. Jadi banyak lagi perkara yang mereka perlu tahu dan belajar," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian yang disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, hari ini.

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 9:19pm
d