Permotoran

Super KIP mahu gegar ARRC

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Selepas keluar daripada 'kepompong' persaraan minggu lalu, kini Khairul Idham Pawi kembali membuat perancangan untuk meneruskan kariernya dalam arena sukan permotoran.

Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu mempunyai hasrat untuk menjadikan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) sebagai landasan permulaan langkahnya pada musim depan.

"Saya akan aktif semula dan bersedia untuk menunggang jentera. Harapan itu nak ke ARRC namun buat masa ini belum ada pengesahan pasukan.

"Saya sudah berkomunikasi dengan beberapa pasukan namun buat masa ini belum ada sebarang pengesahan lagi."

Mengikut rekod, Khairul Idham atau dikenali sebagai Super KIP yang bersara pada penghujung 2020 kembali menyertai Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) hujung minggu lalu dengan meraih kemenangan pada Perlumbaan 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pelumba berusia 23 tahun itu yang beraksi dalam kelas 600cc melengkapkan 10 pusingan saingan dengan catatan 21 minit 59.034 saat (s).

Mengulas lanjut, Super KIP berkata, walaupun berpengalaman beraksi di kejohanan terbabit namun tetap mempunyai perasaan gugup selepas hampir setahun berehat daripada arena permotoran.

"Saya teruja (apabila dapat kembali berlumba). Saya akan meneruskan untuk beraksi di baki pusingan MSBK musim ini dan mula melakukan latihan sepatutnya.

"Untuk tahun ini, saya langsung tidak melakukan latihan (bersama jentera), saya akan kembali melakukan latihan dan saya menantikan untuk perlumbaan seterusnya." katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 3:16pm
d