Permotoran

Impian Rossi di perlumbaan terakhir tercapai

Oleh AFP

Valencia: Valentino Rossi yang melengkapkan perlumbaan terakhir MotoGP selepas 26 tahun berasakan persaraan akan menjadi sukar untuknya terutama pada Mac apabila bermulanya musim baru.

Pelumba berusia 42 tahun dan juara dunia sembilan kali disemua kategori itu menamatkan saingan di kedudukan ke-10 bersama jentera Yamaha dalam penampilan terakhir di Valencia yang juga perlumbaan ke-432 sejak memulakan kariernya pada 1996.

"Saya sangat bermotivasi dan fokus seperti mahu memenangi kejuaraan dunia kerana perlumbaan terakhir cukup istimewa dan sangat penting," kata Rossi yang melintasi garisan penamat di mana dia diraikan oleh penyokong dan barisan pelumba lain.

"Ia bukan mudah kerana terdapat banyak tekanan tetapi saya mampu menduduki kedudukan 10 terbaik, jadi saya mengakhiri karier panjang dengan muncul 10 pelumba terbaik di dunia.

"Ia amat penting kerana saya sering katakan pada perlumbaan terakhir, saya mahu menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik.

"Saya tak mahu menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir."

Rossi menyaksikan nombor bertuahnya VR46 dapat dilihat di mana-mana di litar Ricardo Tormo bagi memberi penghormatan kepadanya.

"Ia minggu yang sangat istimewa," kata Rossi yang memenangi tujuh kejuaraan dunia dalam kelas perdana (500cc dan MotoGP) selain dua kejuaraan dunia kelas 125cc dan 250cc.

"Saya tak menjangkakan perkara itu. Saya hanya sedikit bimbang mengenai perlumbaan terakhir saya."

Disiarkan pada: November 15, 2021 @ 8:42am
d