Permotoran

Hamilton tidak akan kembali berlumba - Ecclestone

Oleh AFP

London: Dengan khabar angin mengenai masa depan Lewis Hamilton yang enggan berundur, bekas bos Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone pula berpendapat pelumba Britain itu tidak akan kembali beraksi musim depan.

Ecclestone adalah yang terbaru dalam kalangan personaliti berkaitan F1 yang memberikan pendapat mereka mengenai masa depan juara dunia tujuh kali itu.

Hamilton dikatakan sudah berputus asa sejak kekalahan kontroversinya di Grand Prix (GP) Abu Dhabi 2021, di mana dia tewas di perlumbaan berkenaan seterusnya membolehkan Max Verstappen dinobatkan sebagai juara.

Ecclestone ditanya dalam satu temubual bersama Blick adakah beliau berhubung dengan Hamilton.

"Tidak, tapi beberapa hari lalu saya ada bercakap dengan bapanya. Saya dapat menangkap bahawa beliau tidak mahu menjawab soalan mengenai masa depan anaknya. Jadi kami hanya berbual mengenai perniagaan," katanya.

Ecclestone percaya Hamilton tidak akan kembali beraksi semula.

Ditanya apakah yang sedang dilalui Hamilton sekarang ini beliau berkata tidak mempunyai jawapan tapi merasakan pelumba itu bakal meninggalkan F1.

"Saya tidak tahu, tetapi saya tidak fikir dia akan kembali. Kekecewaannya terlalu besar. Anda boleh memahaminya dengan cara tertentu. Kini sudah tiba masanya, dengan tujuh gelaran kejohanan dunia seperti Michael Schumacher, untuk mencapai impiannya menjadi seorang usahawan fesyen.

"Sudah tentu terdapat banyak perkara yang tidak kena pada pusingan akhir. Pengarah perlumbaan masih boleh menyelamatkan dirinya daripada masalah jika dia menghentikan perlumbaan serta-merta dengan bendera merah selepas kemalangan Latifi.

"Kemudian ia akan menjadi superfinal antara Max dan Lewis untuk tiga pusingan terakhir.

"Perkara benar-benar berlaku di sana. Kita tidak boleh mengubahnya lagi," keluhnya.

Disiarkan pada: December 24, 2021 @ 1:37pm
d