Permotoran

Bottas tidak lagi dibayangi Hamilton

Oleh Agensi

London: Valtteri Bottas membuat keputusan tepat untuk tidak lagi dibayangi Lewis Hamilton dan bakal mengetuai pasukan barunya, Alfa Romeo.

Bottas menghabiskan masa selama lima tahun bergandingan dengan pelumba Britain itu dan menamatkan saingan di kedudukan kedua pada musim 2019 serta 2020 selain memenangi 10 perlumbaan sepanjang bersama pasukan itu.

Bagaimanapun dia sering menjadi pilihan kedua di belakang Hamilton dan membantu rakan sepasukannya untuk memenangi kejuaraan dunia.

Kini Bottas berpeluang menjadi pilihan utama di Alfa Romeo di mana dia akan bergandingan bersama pemandu rookie dari China, Guanyu Zhou.

Ketua Pegawai Eksekutif pasukan itu, Frederic Vasseur percaya penghijrahan itu akan memberikan peluang kepada Bottas untuk lebih menyinar.

"Saya rasa perkara paling penting untuknya adalah mendapat lebih tumpuan di dalam pasukan.

"Bukanlah sesuatu yang rahsia lagi ketika di Mercedes dia sering dibayangi Lewis," kata Vasseur dalam satu temuramah bersama GP Fans.

Bottas dituduh oleh sesetengah pihak tidak membantu pada perlumbaan terakhir tahun ini yang menyaksikan Hamilton terpaksa menyerahkan gelaran juara dunia kepada Max Verstappen.

Disiarkan pada: December 29, 2021 @ 10:46am
d