Permotoran

'Bukan pengakhiran karier Adam' - Zulfahmi

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui masih belum mempunyai sebarang perancangan terhadap Adam Norrodin selepas pelumba itu sendiri mengesahkan tidak akan meneruskan aksi di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah musim 2022.

Jelas Zulfahmi, pelbagai faktor sedang diambilkira ketika ini dalam menentukan hala tuju pelumba berusia 23 tahun itu, malah beliau sendiri sedia melepaskan Adam jika ada pasukan lain berminat mendapatkannya.

"Sejujurnya saya masih belum ada apa-apa perancangan mengenai Adam. Untuk sekarang, dia masih lagi mempunyai kontrak dengan ZK Racing. Saya akan cuba untuk membantunya mencari pasukan lain yang serius dengan fokus kepada perlumbaan tempatan dan di Asia.

"Saya cuma berharap dia boleh terus berlumba dan semangatnya tidak akan pudar. Bagi saya semua ini bukanlah pengakhiran kepada karier Adam. Ia cuma satu ujian di mana ketika dia sedang berada di tahap terbaik, peluang pula tidak ada untuknya," katanya.

Jelas Zulfahmi lagi, pihaknya serta Litar Antarabangsa Sepang (SIC) melihat kepada pelbagai faktor sebelum membuat keputusan untuk tidak meneruskan karier Adam di CEV Eropah.

"Musim 2021 adalah paling cemerlang untuknya apabila berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali di CEV Eropah. Kami sasarkan penamat lebih tinggi kepadanya seperti yang dibincangkan di awal musim.

"Malah saya rasa Adam boleh capai sasaran itu tetapi dengan pelbagai kekangan termasuk kemalangan, ia menyukarkannya. Selepas melihat daripada pelbagai sudut, kami putuskan untuk fokus kepada generasi baru.

"Untuk merumuskan, ia terlalu terperinci. Apa yang boleh saya katakan ialah pertimbangan terhadap Adam melihat kepada pelbagai faktor termasuk prestasi dan penajaan," katanya.

Adam menerusi laporan semalam mengesahkan tidak akan lagi beraksi di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah pada musim 2022 selepas menamatkan saingan musim lalu di kedudukan kelima keseluruhan.

Dia mengumpul keseluruhan 97 mata namun sedikit tersasar daripada sasaran untuknya iaitu menamatkan kempen di kedudukan ketiga terbaik secara keseluruhan.

Disiarkan pada: January 3, 2022 @ 5:22pm
d