Permotoran

Marquez bersedia bersaing bersama generasi baru

Oleh Agensi

London: Marc Marquez mungkin merasakan perbezaan yang 'sangat jauh' ketika dia menguasai saingan MotoGP 2019 namun dia bersedia untuk bertarung dengan bintang yang sedang meningkat naik Fabio Quartararo dan Francesco Bagnaia untuk merebut gelaran juara 2022.

Selepas peluang merebut kejuaraan musnah kerana kecederaan pada tangan, bahu dan mata sejak dua tahun lalu, Marc Marquez bersedia untuk kembali bersaing bersama generasi baru MotoGP musim ini.

Namun pelumba Sepanyol itu mengakui dia kini 'jauh ketinggalan' berbanding ketika mendominasi musim 2019 apabila merangkul juara dunia yang kelapan dengan margin besar 151 mata (bersamaan dengan enam kemenangan perlumbaan).

"Sepanjang musim 2020 saya di rumah dan 2021 menjadi musim yang sangat sukar namun akhirnya bertukar lebih baik pada penghujung musim, anda mula memahami apa yang anda capai," kata Marquez.

"Kerana anda rasa sukar untuk menjadi pantas dan konsisten setiap perlumbaan dan keadaan.

"Saya cuba untuk menganalisis bagaimana saya melakukan semua perkara itu kerana saya rasa saya memerlukan masa untuk memperbaiki banyak perkara jika saya mahu mengulanginya.

"Sudah tentu saya boleh bersaing untuk kejuaraan 2022 tapi untuk menang dengan kelebihan 100 mata seperti saya lakukan sebelum ini ia sangat sukar.

"Dua pelumba ini Quartararo dan Bagnaia akan menjadi sangat pantas. Kedua-dua mereka beraksi dengan sangat baik tahun lalu terutama Bagnaia.

"Apapun sasaran pada 2022 ia mencari rasa perlumbaan itu. Jika anda menjumpai rasa yang istimewa itu hasilnya akan tiba tidak lama lagi," katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2022 @ 11:07am
d