Permotoran

Pelumba WithU RNF sedia bersaingan di GP Qatar

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas melalui dua ujian pra musim MotoGP yang berlangsung di di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Litar Mandalika, Indonesia pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP sudah bersedia untuk mengharungi kempen 2022 dengan langkah kanan.

Menurut pengasas dan prinsipal pasukan WithU RNF, Datuk Razlan Razali, dua ujian pra musim itu yang dilalui dua pelumbanya, Andrea Dovizioso dan Darryn Binder menunjukkan peningkatan daripada catatan masa sepusingan di saat pasukan berusaha mencuba beberapa peralatan dan pelarasan.

"Tiga hari yang sangat baik dan ujian berlangsung dengan begitu positif di Litar Mandalika. Pelumba kami sentiasa meningkat catatan masanya yang mana sangat penting walaupun keadaan di trek tidak begitu baik, namun meningkat setiap hari," katanya menjelang saingan sulung Grand Prix (GP) Qatar yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 6 Mac ini.

Dalam ujian selama tiga hari itu, Dovizioso melengkapkan tiga sesi ujian dengan catatan masa terbaiknya 1 minit 31.890 saat (s) manakala Binder melakukan 1'33.049s.

Perlumbaan GP Qatar dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Losail untuk saingan pembuka tirai kempen 2022 sebelum Litar Mandalika menjadi lokasi kedua musim dari 18 hingga 20 Mac.

"Saya sudah pasti akan hadir di GP Indonesia bulan depan, keadaan akan bertambah baik di trek dan di kawasan lain. Kedua-dua pelumba (dalam ujian pra musim) mencuba banyak peralatan.

"Semuanya berlangsung dengan positif baik daripada sudut pelarasan dan keserasian. Terutamanya Darryn, yang masih perlu mengenali motosikal dan cuba memahami litar.

"Andrea mencuba barang baharu, cuba meningkatkan dirinya dan lebih selesa ketika menunggang M1. Selepas dua minggu ujian di Sepang dan Mandalika, kami sudah bersedia untuk GP Qatar.

"Sudah tentu kami mempunyai beberapa lagi sesi ujian sebelum perlumbaan di Losail tetapi pasukan sudah bersedia dan pelumba juga begitu," kata Razlan.

Disiarkan pada: February 14, 2022 @ 2:33pm
d