Permotoran

Russell mula rasai bahang

Oleh Reuters

London: Pemandu Britain, George Russell berkata dia mampu menyesuaikan diri dengan pasukan barunya Mercedes menjelang musim pertamanya sebagai pemandu sepenuh masa buat juara bertahan pengeluar Formula Satu (F1) itu.

Pemandu berusia 24 tahun yang meluangkan masa tiga tahun lalu menimba pengalaman di Williams, berdepan tanggungjawab besar apabila memikul reputasi pasukan yang memenangi lapan kejuaraan terdahulu.

Dia dilabelkan bakal menjadi juara dunia masa depan dengan Lewis Hamilton, 37, dijangka tamat kontrak pada penghujung 2023.

Tumpuan pastinya terarah kepada Russell yang sebelum ini hampir menang perlumbaan ketika penampilan pertama buat Mercedes sebagai pengganti Hamilton di Grand Prix Sakhir 2020.

"Tak rasa seperti satu tempoh perubahan kerana seolah-olah saya sudah lama bersama pasukan ini sejak beberapa tahun lalu," katanya pada pelancaran kereta pasukan bagi musim 2022.

"Baru saya sedar apabila sudah memandu kereta F1 Mercedes setiap tahun sejak 2017 jadi saya rasa sangat kerdil bersama seluruh pasukan ini," kata Russell yang mendapat galakan daripada Mercedes sejak 2017.

Sama seperti impian pemandu muda lain, Russell akan menikmati peluang untuk mencipta nama menerusi statistik pemanduan hebat yang pernah dihasilkan dari sukan permotoran itu.

"Kami harap Mercedes akan kekal menjadi pasukan terpantas.. tetapi tiada jaminan dan kami harus akur mengenainya, jadi terus bekerja sama untuk memastikannya."

Hamilton yang melakukan penampilan pertama di F1 disamping bekas juara dunia dua kali, Fernando Alonso di McLaren pada 2007 berkata dia memahami situasi yang dihadapi Russell ketika ini.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 11:32am
d