Permotoran

Izam mahu balas kepercayaan OneXOX TKKR Racing Team

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pelumba muda, Muhammad Izam Ikmal Izamli sedia untuk membalas kepercayaan yang diberikan pasukan OneXOX TKKR Racing Team dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022.

Izam Ikmal, 20, akan mewakili pasukan secara solo dalam kelas SuperSports 600cc dengan saingan kempen 2022 dijadual membuka tirainya di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, bulan depan.

"Saya sudah bersedia untuk memberikan saingan dan membalas kepercayaan pasukan yang meletakkan saya dalam kategori cukup mencabar ini.

"Persediaan dari segi mental dan fizikal turut saya berikan perhatian dalam memastikan saya sentiasa fokus untuk memberikan aksi terbaik.

"Semestinya saya akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan kemenangan buat pasukan baharu saya ini," kata Izam Ikmal yang pernah menjadi pelumba gantian dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia pada 2018.

Sementara itu, Prinsipal Pasukan, Bobie Farid Shamsuddin berkata, percaya Izam Ikmal mampu memberikan saingan kepada pelumba lain dalam kelas berkenaan.

"Walaupun dengan usia yang masih muda, pengalaman beliau beraksi di pentas Kejuaraan Eropah (CEV) dan pengalaman dengan jentera berkuasa tinggi dilihat dapat memberikan impak dan saingan dalam kategori yang menghimpunkan pelumba hebat Asia," kata Bobie.

Pentas ARRC bukan asing buat Izam Ikmal yang sebelum ini juga pernah menyertai kelas Asia Production 250 (AP250) dengan kali terakhir pada 2020 sebelum pandemik Covid-19 merencatkan kalendar perlumbaan selepas itu.

Disiarkan pada: February 22, 2022 @ 9:45pm
d