Permotoran

Pembatalan GP Rusia mengarut

Oleh AFP

Paris: Keputusan untuk membatalkan Grand Prix (GP) Rusia kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine 'tidak masuk akal', kata bekas ketua Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone.

Perlumbaan itu yang sepatutnya berlangsung 25 September depan di Sochi, iaitu tahun terakhir bandar itu akan menganjurkan perlumbaan berkenaan sebelum beralih ke Saint Petersburg, dibatalkan oleh F1, Jumaat lalu.

Ecclestone, yang selama beberapa dekad mengubah landskap sukan itu dengan meraih keuntungan komersial yang banyak berkata, beliau tidak faham bagaimana FIA mencapai keputusan itu.

"Dalam apa juga cara anda menilai, ia tidak masuk akal.

"Sepanjang pengetahuan saya tidak ada peperangan di Rusia. Jadi jika ia dianjurkan, ia tidak akan membawa perbezaan kepada mana-mana pihak.

"Maknanya ia tidak menjejaskan sesiapa pun. Keputusan menghukum Rusia dengan cara seperti ini tidak akan memberi kesan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin," katanya.

Ecclestone, 91, berkata ketiadaan GP Rusia pada tahun ini hanyalah satu isyarat dan tindakan yang tidak akan mengubah fikiran Putin.

"Perlumbaan itu tidak penting baginya (Putin) atau memberi kesan buruk kepadanya.

"Apa dia perlu lakukan, hentikan pencerobohan? Semuanya mengarut, semua perkara ini terus mereka ugut untuk lakukan," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 8:44am
d