Permotoran

Verstappen pulang ke Monaco dengan harapan tinggi

Oleh AFP

Monaco: Juara dunia Formula Satu, Max Verstappen kembali ke 'tempat asal' sambil berharap mendapat sokongan padu dan menewaskan musuh ketat yang juga wira tempatan, Charles Leclerc pada perlumbaan Grand Prix (GP) Monaco, Ahad ini.

Beberapa hari selepas mengetuai rakan sepasukan, Sergio Perez untuk penamat satu dunia bagi Red Bull ketika GP Sepanyol, hujung minggu lalu, pelumba Belanda berusia 24 tahun itu berhasrat melakukan kesudahan sama untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan musim ini.

Verstappen mendahului kejuaraan dengan kelebihan enam mata mengatasi pemandu Ferrari, Leclerc yang gagal menamatkan perlumbaan di Circuit de Catalunya.

Dia memburu kemenangan keempat berturut-turut dan yang kedua dalam perlumbaan klasik yang dijangka berlangsung dalam hujan, Ahad ini.

"Seperti biasa, peringkat kelayakan sangat penting," kata juara 2021 itu.

"Monaco sentiasa menjadi minggu yang padat tetapi istimewa. Treknya lama, sempit dan ia membuatkan jantung berdegup kencang, jadi ia memang gila.

"Kami perlu konsisten sejak awal. Ia adalah tempat agak gila dengan kereta Formula Satu. Saya akhirnya menang di Monaco pada tahun lalu dan memang lega sangat apabila melintasi garisan penamat."

Seperti Leclerc yang dilahirkan dan dibesarkan di sekitar Mediterranean itu, Verstappen turut berpengkalan di situ untuk
iklim serta cukai, sama seperti beberapa pemandu lain termasuk juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, Valtteri Bottas, Lando Norris dan Daniel Ricciardo.

Berikutan itu, mereka akan mengenali litar berkenaan yang menjadi ikon dan terkenal dalam kalendar Formula Satu, di samping tempat tidur mewah pada hujung minggu perlumbaan.

Sejauh 3.337 kilometer sepusingan, ia adalah litar paling pendek dalam kalendar dan menyediakan beberapa peluang memintas, pertukaran gear serta arah yang mencabar dengan hanya 42 peratus daripada litar menawarkan kelajuan maksimum.

Disiarkan pada: May 26, 2022 @ 10:41am
d