Permotoran

Verstappen tak simpati nasib malang Leclerc

Oleh Reuters

Baku: Max Verstappen tidak bersimpati terhadap Charles Leclerc selepas pemandu Belanda itu mengambil kesempatan daripada kegagalan enjin dialami pemandu Ferrari itu untuk meraih kemenangan tanpa sebarang cabaran di Grand Prix (GP) Azerbaijan, semalam.

"Saya boleh katakan perkara buruk berlaku dalam perlumbaan," kata Verstappen yang mengalami kekecewaan terlepas kedudukan pendahulu di Baku tahun lalu kepada pemberita.

"Ia berlaku kepada saya, ia berlaku kepada ramai pemandu pada masa lalu dan malangnya ia berlaku juga kepada Charles.

"Sekiranya saya berada dalam situasi yang sama, saya juga akan kecewa, saya fikir itu adalah perkara biasa, tetapi ia mengenai bagaimana anda mengatasi kekecewaan itu."

Kemenangan Verstappen semalam, yang kelimanya daripada lapan perlumbaan musim ini, membolehkannya kekal mendahului pemandu lain di kedudukan teratas.

Dia kini mempunyai kelebihan 21 mata berbanding rakan sepasukan Red Bull, Sergio Perez, yang melengkapkan kemenangan satu dua di belakang Verstappen, semalam dengan Leclerc ketinggalan 34 mata sekali gus jatuh di kedudukan ketiga.

Pemandu berusia 24 tahun itu hanya ketinggalan sembilan mata di belakang Verstappen sebelum perlumbaan tetapi kini gagal meraih kemenangan dalam empat perlumbaan terakhir berturut-turut meskipun pada satu ketika mendahului saingan.

Kegagalan semalam adalah kali kedua dalam tiga perlumbaan Leclerc terpaksa bersara meskipun mendahului perlumbaan.

Disiarkan pada: June 13, 2022 @ 9:44am
d