Permotoran

Dovizioso mahu tinggalkan MotoGP

Oleh Reuters

London: Andrea Dovizioso akan meninggalkan MotoGP penghujung tahun ini dan melupakan saingan 2023 selepas berdepan musim mengecewakan, menurut pelumba Itali itu awal pagi tadi.

Dovizioso yang memulakan kariernya pada 2001 adalah naib juara tiga kali MotoGP bersama Ducati namun hanya meraih 10 mata musim ini dan gagal menamatkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dalam semua perlumbaan sekaligus terperosok di tangga ke-22 dalam carta.

Dovizioso meninggalkan Ducati pada penghujung 2020 dan menyertai Petronas Yamaha yang kini dikenali Yamaha RNF pada pertengahan musim lalu.

"Yang pasti saya tak akan berlumba tahun depan, tiada alasan untuk itu. Saya selalu berkata jika saya tidak kompetitif saya tak mahu ada di sini," kata Dovizioso kepada MotoGP.com sambil menambah dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknikal dalam sukan itu.

"Tiada alasan terutamanya selepas 20 tahun. Saya tidak pernah mencuba mendapatkan tempat untuk tahun depan. Saya tak mahu mendapatkan keputusan seperti ini."

Dovizioso sebelum ini mendedahkan dia gagal menyesuaikan diri dengan jentera Yamaha yang dianggap sangat berbeza dengan motosikal Ducati.

Disiarkan pada: July 13, 2022 @ 8:45am
d