Permotoran

Quartararo idam uji kereta F1

Oleh Agensi

London: Penyandang juara dunia MotoGP, Fabio Quartararo mungkin akan berpeluang menguji jentera F1 pada hujung musim ini bersama Mercedes.

Berpotensi mengikut jejak juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi yang memandu kereta Ferrari F1 beberapa kali semasa aktif berlumba, Quartararo mungkin menjadi pelumba seterusnya meraih peluang itu bersama Mercedes.

Ketika tampil di Grand Prix Perancis yang menyaksikan Max Verstappen meraih kemenangan selepas Charles Leclerc terbabas, Quartararo tidak merahsiakan cita-citanya untuk memandu kereta F1 dalam masa terdekat.

"Kami sedang berusaha untuk dapat menguji kereta Formula 1 pada penghujung tahun.

"Formula 1 sangat berbeza daripada MotoGP, tetapi saya sangat menyukainya. Saya berharap dapat memandu kereta ini suatu hari nanti," kata Quartararo kepada DAZN.

Wartawan F1 Sky Sports, Ted Kravitz pula mendakwa: "Quartararo akan menguji kereta Mercedes pada hujung tahun, jadi berhati-hati dengan penampilannya."

Quartararo ketika ini mendahului kejuaraan pelumbaan MotoGP mengatasi Aleix Espargaro.

Disiarkan pada: July 26, 2022 @ 11:38am
d