Permotoran

Damok sertai GP Malaysia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Syarifuddin Azman disahkan akan beraksi pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia bermula 21 hingga 23 Oktober depan menerusi tiket wild card.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif yang berkata, Syarifuddin atau lebih mesra dipanggil Damok adalah pelumba negara paling layak beraksi di Sepang ketika ini.

Katanya Damok yang bakal membuat penampilan kali kelima menerusi tiket wild card, akan beraksi bersama pasukan VisionTrack Racing Team.

"Selepas dua tahun GP Malaysia tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19, kami kini sudah bersedia menanti kehadiran penyokong tempatan serta antarabangsa.

"Dengan tiada pelumba Malaysia bersaing musim penuh pada musim ini, saya percaya Damok akan menjadi tarikan utama kepada peminat MotoGP di negara ini.

"Untuk itu, saya berharap jualan tiket akan meningkat dan penyokong tempatan dapat memberi sokongan padu kepada Damok," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran GP Malaysia yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini.

Damok sebelum ini beraksi menerusi tiket wild card di Aragon pada tahun lalu serta tiga pusingan di GP Portugal, Sepanyol dan Catalunya.

Pelumba negara itu yang beraksi pada musim penuh Kejuaraan JuniorGP 2022 ketika ini menduduki tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 97 mata bersama pasukan SIC Racing.

Disiarkan pada: August 16, 2022 @ 6:02pm
d