Permotoran

Miller juara MotoGP Jepun

Oleh Reuters

Motegi, Jepun: Pelumba Ducati, Jack Miller memenangi perlumbaan pertama musim ini di MotoGP Jepun di litar Motegi, hari ini.

Pada masa sama, Fabio Quartararo menjarakkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan sekalipun menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Miller yang berasal dari Australia, menamatkan perlumbaan 3.409 saat di depan pelumba Red Bull KTM, Brad Binder, yang memintas penunggang Pramac Ducati, Jorge Martin pada saat akhir.

Walaupun bermula pada petak ketujuh, Miller memintas pendahulu, Martin di pusingan ketiga dan selepas itu tidak menoleh ke belakang.

"Ada masanya saya boleh menunggang motosikal dengan baik," kata Miller sambil bergurau selepas kemenangannya itu.

"Saya rasa hebat sepanjang hujung minggu ini sejak tampil pada sesi latihan bebas pertama.

"Memang hebat. Kami akan menghadapi Grand Prix (GP) di negara sendiri selepas ini dan majlis perkahwinan saya akan berlangsung beberapa minggu lagi, jadi saya amat teruja."

Perlumbaan peringkat kelayakan semalam terjejas akibat hujan lebat, tetapi perlumbaan sebenar hari ini berjalan lancar pada ketika Jepun menganjurkan semula GP selepas dua tahun mengenepikannya kerana Covid-19.

Penunggang Yamaha, Quartararo mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan mata ketika berbaki empat lagi perlumbaan manakala pencabar terdekatnya, Francesco Bagnaia terbabas ketika cuba memintasnya pada pusingan terakhir.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 7:56pm
d