Permotoran

Damok mahu cipta kenangan terindah di SIC

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Syarifuddin Azman mahu menjadikan perlumbaan Moto3 di Grand Prix (GP) Malaysia, hujung minggu ini sebagai kenangan terindah buat peminat yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Walaupun beraksi menerusi tiket 'wild card' di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu, pelumba lebih mesra dengan panggilan Damok menyasarkan berada di kelompok hadapan kelak.

Menurutnya, SIC menjadi sebahagian daripada hidupnya apabila sering berlatih di litar sepanjang 5.5 kilometer itu, sekali gus mahu memburu tempat hadapan pada sesi kelayakan.

"Saya mahu capai sasaran sebab ini litar saya sendiri dan makanan saya dan tahu mana boleh memintas pelumba lain.

"Apapun saya perlu tengok keadaan cuaca kerana minggu ini cuaca diramal hujan. Jika hujan keadaan litar jadi licin. Jadi saya harap cuaca panas, sekali gus mampu beri kelebihan kepada saya.

"Jika hujan sekalipun saya perlu fokus yang terbaik. Jadi pada sesi kelayakan saya perlu benar-benar fokus untuk buru petak hadapan.

"Jika bermula di petak belakang, jadi saya perlu memintas kelompok hadapan. Saya harap mampu buat terbaik pada sesi kelayakan," katanya pada Majlis Tanam Pokok di Taman Tugu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Syarifuddin mewakili pasukan VisionTrack Racing Team iaitu menggunakan jentera dan khidmat pasukannya di Kejuaraan Dunia JuniorGP.

Situasi itu memberi kelebihan kepada pelumba berusia 21 tahun itu yang menambahkan semangat untuk melakukan terbaik dalam usaha memburu podium.

Disiarkan pada: October 19, 2022 @ 7:07pm
d