Permotoran

Strategi tepat kunci kejayaan Verstappen

Oleh AFP

Mexico City: Juara dunia dua kali, Max Verstappen berkata gabungan permulaan pantas dan sempurna serta strategi tayar yang tepat oleh Red Bull menjadi kunci kejayaannya meraih rekod kemenangan ke-14 musim ini di Grand Prix Mexico, awal pagi tadi.

Pelumba Belanda berusia 25 tahun itu, yang membantu merangkul gelaran pengeluar untuk Red Bull seminggu lebih awal di Texas, mendominasi perlumbaan dengan permulaan yang sempurna daripada petak pertama.

"Sudah tentu, kami juga menggunakan strategi yang berbeza berbanding dengan pesaing kami. Tetapi sekali lagi keputusan yang luar biasa. Kereta sangat laju dan ia cukup bagus.

"Kami terpaksa menjaga tayar kami kerana ia adalah perlumbaan yang panjang dan kami berjaya melakukannya.

"Kami sangat gembira hadir ke sini dan ia adalah tahun yang cukup istimewa setakat ini. Kami akan cuba meraih keputusan yang lebih baik," kata Verstappen.

Strategi penggunaan tayar yang tepat menjadi kunci kepada kejayaan Red Bull ketika pesaing terdekat mereka, Mercedes tersalah congakan.

"Kami menggunakan strategi yang salah hari ini," akui prinsipal Mercedes, Toto Wolff.

Disiarkan pada: October 31, 2022 @ 8:56am
d