Permotoran

TMS2023 tawar RM80,000

Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menganjurkan Siri Motocross Terengganu 2023 (TMS2023) dengan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM80,000 mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan yang diadakan buat julung kali itu bakal disertai lebih 3,000 pelumba dalam dan luar negara.

Beliau berkata, kejohanan itu juga bertujuan mempromosi negeri sebagai ikon permotoran yang semakin mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peminat sukan motosikal lasak.

"Kejohanan ini juga memupuk minat serta mencungkil bakat baru di kalangan peserta seterusnya mampu bersaing ke peringkat lebih tinggi dalam acara motosikal lasak.

"Selain itu, kejohanan ini juga menggalakkan serta membangunkan sukan bermotor untuk melahirkan seramai mungkin pelumba lasak," katanya pada majlis penyampaian insentif dan pelancaran TMS 2023 di Pejabat DUN Terengganu, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Wan Sukairi berkata, pusingan pertama bermula di Trek Kubang Ikan, di sini pada Mac 2023 diikuti pusingan kedua di Dungun pada Mei 2023.

Beliau berkata, pusingan ketiga diadakan di Trek Kelimo Kerteh 5, Kemaman pada Ogos 2023 dan pusingan keempat di Trek Monica Bay Kemaman, Oktober 2023.

"Kita menjangkakan siri kejohanan ini akan berakhir di Sand Trek Kerteh pada November tahun depan," katanya.

Wan Sukairi berkata, kejohanan ini juga diharap mampu menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri ke Terengganu.

"Kejohanan ini juga ibarat serampang dua mata kerana ia bukan saja melahirkan jaguh sukan lasak, malah merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2022 @ 9:48pm
d