Permotoran

Pesta Ducati rai kejayaan

Oleh Agensi

London: Ducati akan meraikan kejayaan berganda mereka selepas menjuarai MotoGP dan WorldSBK musim ini dengan majlis sambutan istimewa di Bologna pada 15 Disember.

Majlis itu bakal menyaksikan penampilan juara MotoGP Francesco Bagnaia dan juara WorldSBK Alvaro Bautista di atas pentas bersama Gigi Dall'Igna, Paolo Ciabatti, Davide Tardozzi dan Serafino Foti serta beberapa artis terkenal Itali.

Personaliti televisyen Barbara Pedrotti dan Guido Meda menjadi pengacara majlis dan mengendalikan sesi temubual.

"Selepas kemenangan berganda MotoGP dan kejohanan Superbike, kami akan meraikannya dengan meriah dan terbuka kepada semua penyokong," kata CEO Ducati, Claudio Domenicali.

"Pemilihan Bologna sebagai venue sangat tepat kerana Ducati lahir di sini dan hubungannya dengan penyokong tempatan sangat hebat dan menambahkan lagi nilai kami.

"Kami mahu pastikan semua penduduk Bologna dan sesiapa sahaja menyertai kami bagi meraikan kejayaan menepati sasaran syarikat yang berpangkalan di sini dan menjadikan Buatan Itali satu kebanggaan kepada rakyatnya."

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 12:16pm
d