Permotoran

Bagnaia akui musim 2023 lebih getir

Oleh Agensi

Rom: Selepas merangkul kejuaraan MotoGP pertamanya dan yang pertama juga untuk Ducati sejak Casey Stoner pada 2007, Francesco Bagnaia sedar dia akan menjadi tumpuan utama pada musim baharu.

Bagnaia akan memulakan musim MotoGP 2023 sebagai salah satu pelumba pilihan dengan barisan pelumba lain dijangka akan memberi ancaman kepadanya.

Antaranya adalah Enea Bastianini manakala pelumba seperti Fabio Quartararo, Marc Marquez dan Aleix Espargaro juga dijangka memberi saingan sengit.

Dengan saingan MotoGP dilihat semakin sukar meskipun Ducati mempunyai pakej terbaik, Bagnaia bakal sekali lagi berdepan tugas getir untuk mempertahankan mahkota kejuaraan dunia miliknya.

"Saya akan merasai pengalaman baharu. Jika kami dapat keputusan yang baik, ia bagus. Apabila menjadi tumpuan pastinya ia mencabar tapi kami masih ada masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi itu.

"Peningkatan prestasi diri saya pada tahun ini adalah berpunca daripada kesilapan. Saya bekerja keras untuk memperbaikinya.

"Secara umum, saya percaya tiada kemajuan tanpa melalui kesilapan. Jika anda melakukan kesilapan, anda boleh melakukan analisa dan kemudian memperbaikinya," katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2022 @ 12:13pm
d