Permotoran

SIC bukan lagi untuk golongan elit

Oleh Zulkarnain Azman

Sepang: Pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mahu menjadikan venue itu sebagai tempat mesra kepada semua golongan dan tidak hanya tertumpu kepada golongan elit semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, bagi memastikan misi itu dapat dicapai, pihaknya kini sedang melakukan beberapa usaha termasuklah mempelbagaikan penganjuran acara seperti konsert mahupun maraton dan tidak hanya terhad kepada sukan permotoran sahaja.

"Persepsi orang ramai sebelum ini SIC adalah tempat untuk orang elit disebabkan kerana mungkin acara yang lepas seperti perlumbaan Formula 1 sehingga mereka anggap tempat ini mahal.

"Jadi kami mahu tukar persepsi bermula tahun ini dengan buka lebih lagi banyak acara lain. Kami berharap siapa nak cari venue acara untuk hubungi kami bagi dapatkan harga berpatutan di SIC," katanya kepada pemberita pada Hari Terbuka SIC di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azhan turut menyasarkan lima peratus peningkatan jumlah penonton Kejuaraan Motosikal Dunia 2023 termasuk Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) berbanding 164,000 pengunjung yang menyaksikan acara tersebut tahun lalu.

Katanya, peningkatan jumlah penonton terutamanya rakyat Malaysia ke Kejuaraan Motosikal Dunia di SIC tahun ini amat penting memandangkan wakil negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok akan membuat penampilan sulung bagi kelas Moto3 bersama pasukan MTHelmets-MSI.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 10:06pm
d