Permotoran

Damok bersemangat tampil di GP Argentina

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas meraih pengalaman berharga di perlumbaan pertama di Grand Prix (GP) Portugal minggu lalu, pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman bersemangat untuk mengharungi pusingan kedua musim 2023 di GP Argentina, minggu ini.

Menurut Syarifuddin yang dikenali sebagai 'Damok', penamat di tempat ke-22 di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal nyata memberikan pengalaman bermakna buatnya yang pertama kali menyertai saingan di Kejuaraan Motosikal Dunia untuk satu musim penuh.

"Ini adalah perlumbaan pertama saya di kejuaraan dunia, jadi saya perlu kekal positif dan berfikiran ke hadapan untuk memperbaiki diri saya. Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar dengan jentera baharu saya," katanya yang mewakili pasukan MT Helmets - MSI.

Ujarnya, dia tidak akan berputus asa atau mengalah untuk berjuang sehingga ke pusingan terakhir.

"Seperti semua tahu, saya ada lagi banyak perlumbaan. Jadi saya akan bawa semua pengalaman ke perlumbaan seterusnya di Argentina.

"Saya harap semua dapat doakan saya selamat di kesemua perlumbaan saya," kata Syarifuddin yang melengkapkan saingan membabitkan 19 pusingan di Algarve dengan catatan keseluruhan 34 minit 57.030 saat.

Keputusan itu nyata berbeza dengan rakan sepasukannya dari Brazil, Diogo Moreira yang menemui penamat di tempat ketiga pada tahun keduanya dalam kancah saingan Moto3.

Musim 2023 menyaksikan 22 pusingan bakal berlangsung termasuk beberapa venue baharu iaitu Litar Antarabangsa Sokol di Kazakhstan pada 9 Julai dan Litar Antarabangsa Buddh, 24 September.

Malaysia pula dijadual menjadi tuan rumah untuk pusingan ke-19 pada 12 November ini manakala Valencia seperti kebiasaan, menjadi pusingan kemuncak musim pada 26 November.

Disiarkan pada: March 29, 2023 @ 1:05pm
d