Permotoran

Martin dominasi GP Thailand

Oleh Reuters

Buriram: Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin melalui hujung minggu yang sempurna di Grand Prix (GP) Thailand apabila dia yang bermula di petak pertama serta memenangi perlumbaan pecut semalam, muncul juara perlumbaan sebenar hari ini.

Kejayaannya itu sekali gus menyaksikannya dapat mengurangkan jurang berbanding pendahulu kejuaraan, Francesco Bagnaia kepada 13 mata.

Martin menamatkan saingan di hadapan Brad Binder dari KTM dan Bagnaia dari Ducati selepas bersaing sengit untuk tiga tempat teratas di mana ketiga-tiga mereka sentiasa bertukar kedudukan dalam dua pusingan terakhir.

Tetapi Binder diturunkan kedudukannya kerana melebihi had trek pada pusingan terakhir sekali gus menyaksikannya menduduki tempat ketiga di belakang Bagnaia.

Perebutan penamat podium itu adalah yang keempat paling sengit dalam sejarah kelas perdana itu selepas tiga pelumba berkenaan menamatkan saingan dalam masa 0.253 saat antara satu sama lain.

"Saya sangat gembira, perasaannya amat luar biasa. Hari ini saya tidak mempunyai kepantasan seperti mereka. Saya terpaksa beraksi lebih 100 peratus," kata Martin ketika di temu bual selepas tamat perlumbaan.

"Segala-galanya hebat, tayar sangat bagus. Situasi sukar menjadikan anda lebih kuat," katanya lagi.

Disiarkan pada: October 29, 2023 @ 5:40pm
d