Permotoran

Ducati tak tergesa-gesa ikat Bagnaia

Oleh Agensi

Lusail: Selepas menyambar dua gelaran juara dunia dan dilihat pelumba terbaik untuk sekali lagi muncul juara pada tahun ini, Francesco Bagnaia sebenarnya berada di penghujung kontraknya bersama Ducati.

Baik Bagnaia mahupun Ducati, kedua-duanya mahu meneruskan kerjasama namun hakikatnya belum ada sebarang perjanjian secara rasmi ditandatangani ketika ini.

Pengurus pasukan Ducati Davide Tardozzi berkata, perbincangan berhubung lanjutan kontrak Bagnaia sedang berlangsung tetapi pihaknya tidak mahu melakukan keputusan dengan tergesa-gesa.

"Kami sedang membincangkan butiran terakhir dengan pengurusannya. Kami tidak mahu tergesa-gesa.

"Pecco sudah pun menumpukan perhatiannya kepada saingan 2024 dan untuk melihat bagaimana perlumbaan pertama di Qatar.

"Kami cuba memuktamadkannya secepat mungkin, tiada tarikh akhir dan kedua-dua pihak mahu kekal bersama.

"Kami benar-benar mahu Pecco kekal bersama kami. Jadi saya fikir hanya masa akan menentukan. Kami cuba melakukannya secepat mungkin, tetapi sekali lagi saya tegaskan iaitu tanpa tergesa-gesa," katanya.

Jelas Tardozzi, keutamaan ketika ini adalah megenai kontrak Bagnaia tetapi tidak untuk rakan sepasukannya, Enea Bastianini.

"Enea adalah salah seorang pelumba yang bagus. Tapi kami memerlukan sedikit masa lagi untuk menentukan pelumba bagi musim 2025 dan 2026," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2024 @ 11:27am
d