Permotoran

Bagnaia kekal di Ducati sehingga 2026

Oleh Reuters

London: Juara dunia berganda MotoGP Francesco Bagnaia terus kekal dengan pasukan Ducati sehingga 2026 selepas menandatangani kontrak lanjutan, menurut pengeluar dari Itali itu semalam.

Bagnaia menang gelaran pertamanya dalam kategori utama perlumbaan motosikal pada 2022 dan jaguh Itali berusia 27 tahun itu meraih kemenangan keduanya musim lalu.

Dia meraih 18 kemenangan setakat ini dan 35 podium, 18 petak pertama dan mencatat masa 13 pusingan terpantas.

"Saya sangat gembira terus berlumba dengan pasukan impian saya," kata Bagnaia dalam kenyataan dikeluarkan Ducati. "Memakai baju berwarna ini satu penghormatan kepada saya. Sangat fantastik dan satu kebanggaan kepada saya."

"Bersama Ducati, pasukan saya dan semua di Ducati Corse, kami mencapai banyak perkara hebat. Dalam tempoh tiga tahun (termasuk 2024) kami akan terus memberikan yang terbaik untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

"Saya sangat teruja dan tak sabar menggegarkan litar Qatar untuk perlumbaan pertama tahun ini," katanya lagi merujuk kepada musim baharu MotoGP yang bermula di Qatar hujung minggu ini.

Disiarkan pada: March 5, 2024 @ 9:55am
d