Permotoran

Marquez buktikan masih berbisa

Oleh AFP

Portimao: Juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez mempamerkan aksi mengagumkan dalam sesi latihan di MotoGP Portugal ketika dia terus menguasai jentera Ducati miliknya.

Pelumba Sepanyol Gresini itu, yang berpindah dari Honda untuk musim 2024 mencatat masa ketiga terpantas di sebelah petang walaupun kemudiannya mengalami kemalangan pertamanya musim ini.

Pelumba Ducati Lenovo, Enea Bastianini mencatat masa terpantas 1 minit 38.057 saat (s), 0.118s di hadapan Jack Miller dari KTM Red Bull dan 0.153s di hadapan Marquez.

"Ia adalah hari yang baik walaupun saya bermula dengan perlahan kerana trek itu sangat mencabar," kata Bastianini.

"Ia lebih baik petang ini (semalam), jadi saya dapat memperbaiki masa saya dan saya melakukan pusingan pantas yang baik."

Juara bertahan, Francesco Bagnaia, yang meraih kemenangan dalam perlumbaan pembukaan musim ini di Qatar, berada di tempat kelapan bersama jentera Ducati miliknya, hanya mencecah 10 teratas pada pusingan terakhir dan mendapat tempat dalam sesi kelayakan kedua Sabtu.

Hujan lebat semalaman menyebabkan trek Algarve berdebu, dengan latihan Moto3 pertama dibatalkan.

Marquez adalah terpantas dalam sesi latihan pertama walaupun keadaan sukar bermakna ia berjalan perlahan dan masanya 1.40.484 telah dikalahkan dengan pantas pada sesi kedua.

Disiarkan pada: March 23, 2024 @ 1:09pm
d