Permotoran

F1 pertimbang lanjut ganjaran mata

Oleh Reuters

London: Pasukan Formula Satu (F1) akan membincangkan cadangan untuk memberi ganjaran mata daripada tempat ke-10 ke tempat ke-12 pada musim depan.

Jurucakap FIA mengesahkan perkara itu ada dalam agenda bersama peraturan lain pada mesyuarat suruhanjaya F1 secara maya yang akan turut disertai FIA dan pemegang hak komersial.

Enam daripada 10 pasukan perlu mengundi untuk menyokong, dengan beberapa pasukan gergasi dikatakan tidak akan menyekat cadangan itu.

"Rasanya ada dua kumpulan dalam Formula Satu ketika ini. Pasukan dari 6 hingga 10 berada dalam pertarungan sengit seperti 1 hingga 5," kata Christian Horner, bos Red Bull selepas Grand Prix China hujung minggu lalu.

Sistem pemarkahan semasa, yang dilaksanakan sejak 2010, menganugerahkan mata kepada 10 penamat teratas dalam turutan 25-18-15-12-10-8-6-4-2-1.

Cadangan itu mungkin akan menyaksikan pertukaran turutan mata kepada 25-18-15-12-10-8-6-5-4-3-2-1.

Sehingga 2003 hanya enam pasukan teratas mendapat mata.

Selepas lima perlumbaan musim ini, tiga pasukan masih belum meraih mata manakala RB milik Red Bull hanya berjaya meraih tujuh mata dan Haas lima mata.

Tempat teratas didominasi Red Bull dengan 195 mata dan malah Aston Martin di tempat kelima sudah mengumpul 40 mata.

Disiarkan pada: April 24, 2024 @ 9:28am
d