bestari

Persidangan cambah idea

Oleh Fazurawati Che Lah

Sebanyak 117 kertas kerja dibentangkan di persidangan kali keempat National Graduates Conference (NATGRAD) 2017 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), baru-baru ini.

Kertas kerja yang dibentangkan itu membabitkan bidang kejuruteraan, perniagaan dan pengurusan serta teknologi maklumat dan bidang tenaga.

Naib Canselor UNITEN Datuk Profesor Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, pembentangan ini menjadi platform untuk memperkasakan pelajar melalui pertukaran idea dan pengalaman dalam latihan serta melalui pendekatan yang kompleks.

Katanya, pembentangan ini juga antara usaha untuk meneruskan penyelidikan yang berdaya saing dan cemerlang bagi memberi perubahan serta inovasi dalam bidang berkaitan.

“Untuk makluman, tahun ini kita mencatatkan penyertaan pelajar tertinggi dan penyerahan kertas untuk NATGRAD 2017.

“Kami menerima sebanyak 117 kertas kerja untuk semakan manakala 102 kertas kerja diterima dan dibentangkan ketika persidangan dua hari ini.

“Kertas kerja yang dibentangkan termasuk daripada 64 kertas kerja dalam bidang Kejuruteraan, 18 dalam Perniagaan dan Pengurusan, 10 Teknologi Maklumat dan satu bidang baru ditambah ke persidangan ini, iaitu 10 kertas kerja dalam bidang tenaga,” katanya.

Program itu dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

NATGRAD 2017 adalah anjuran Kelab Aktiviti Siswazah UNITEN di bawah kelolaan Kolej Pengajian Siswazah (COGS) sempena sambutan UNITEN ke-20.

Bertemakan Energizing Innovations Through Research Excellence, ia selaras dengan visi dan misi MOSTI untuk memartabatkan negara ke arah lebih mampan, berdaya saing dan menjana kepada pendapatan ekonomi yang lebih tinggi.

Kamal Nasharuddin berkata, selaras dengan Building Opportunities Living Dreams 2025 (BOLD2025) dengan misi Transformasi UNITEN untuk mencapai penyelidikan yang cemerlang, persidangan berkenaan menjadi batu loncatan dalam kalangan penyelidik untuk mencapai kejayaan dalam bidang terbabit.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 12:53pm
d