bestari

Latihan amali di kampung

Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar

Seramai 24 pelajar Kolej Vokasional Batu Lancang, Georgetown teruja selepas berpeluang beramah mesra dengan penduduk di Perkampungan Sira Panas, Bersia Lama, Grik, Perak menerusi Program Khidmat Masyarakat, baru-baru ini.

Program julung kali diadakan itu membabitkan pelajar tahun satu Diploma Teknologi Elektrik Kolej Vokasional Batu Lancang bertujuan memberi pendedahan mengenai kehidupan di kampung berkenaan, sekali gus mendidik mereka agar bersikap lebih prihatin dengan kegiatan kemasyarakatan.

Pengarah projek Shahrul Azani Mohd Sabri berkata, antara kegiatan dijalankan termasuk melawat sekitar Stesen Janakuasa Elektrik sebelum mengadakan majlis tahlil di surau kampung berkenaan bersama penduduk.

“Kami mengadakan kegiatan amal ini sebagai satu daripada latihan amali yang wajib dijalankan kepada pelajar bagi memenuhi modul pembelajaran mereka.

“Pelajar diberikan tugasan untuk menaik taraf sistem pendawaian selain membersihkan persekitaran di surau kampung berkenaan diiringi dua pensyarah pengiring.

“Sistem pendawaian elektrik usang diganti selain menjalankan kerja pemasangan kipas yang dianggarkan membabitkan kos kira-kira RM1,000,” katanya.

Peserta, Fatin Dayana Rafi, 18, gembira kerana berpeluang beramah mesra dengan penduduk, sekali gus memahami situasi dihadapi mereka dan mendapat pendedahan berkomunikasi dengan baik dalam masyarakat.

“Ia secara tidak langsung mendidik kami agar sentiasa menghormati orang tua dan menghargai ibu bapa masing-masing. Sepanjang program kami menjalankan kerja pembersihan di surau ini bagi memberikan keselesaan kepada penduduk beribadah.

“Kegiatan seperti ini memberi kepuasan kepada pelajar kerana berpeluang berbakti kepada masyarakat selain berharap program itu dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pensyarah pengiring, Nur Asilah Jamaluddin berkata, pihaknya melihat kegiatan kemasyarakatan itu memberi banyak kebaikan untuk memupuk semangat sukarelawan atau tolong-menolong dalam kalangan pelajar.

“Ia bukan hanya mampu meringankan kesusahan golongan memerlukan, malah mengeratkan hubungan persaudaraan,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 3:29pm
d