bestari

Signifikan kemajuan sesebuah negara

Oleh Fazurawati Che Lah dan Ihsan Noorzali

Ungkapan 'cikgu' amat sinonim dengan guru biarpun individu 'cikgu' itu sudah bersara atau meninggal dunia.

Ini jelas membuktikan betapa besarnya jasa dan pengaruh pendidik sehingga panggilan itu 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan'.

Walaupun ucapan itu sudah lama diungkapkan namun ia masih segar dan tidak akan lenyap ditelan zaman, sejajar peranan guru melahirkan modal insan cemerlang serta pembina negara bangsa.

Esok, 16 Mei adalah tarikh sambutan Hari Guru yang diraikan bagi menghargai jasa dan pengorbanan kira-kira 422,500 golongan pendidik dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.

Hari Guru 2017 mengangkat semula tema, 'Guru Pembina Negara Bangsa' yang menjadi tema Hari Guru pada 2009, 2010 dan terakhir tahun lalu.

Ia membuktikan tema itu mempunyai hubung kait jelas peranan guru dalam membina kekuatan untuk menentukan masa depan negara.

Guru berbakti tanpa mengenal erti jemu dan mengalah demi kejayaan anak didik. Tiada guru yang senang hati apabila anak didiknya gagal dalam pelajaran. Itu fitrah mulia bagi mereka yang bergelar guru.

Mereka banyak menghabiskan waktu untuk membimbing kita supaya menjadi insan yang serba tahu, beragama dan berakhlak mulia. Namun, sedar atau tidak, sesetengah daripada kita lupa ataupun tidak mengerti mengenai bakti dan pengorbanan mereka. Hargailah jasa mereka!

Bukan hadiah mahal dan wang yang menjadi ukuran dan sandaran, tetapi banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan kita sebagai murid untuk terus menghargai jasa mereka, antaranya menzahirkan rasa terima kasih.

Tidak ramai yang sedar ucapan terima kasih daripada murid kepada gurunya adalah suatu yang amat bernilai buat guru. Tambahan pula tatkala murid berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing.

Dengan komunikasi canggih dewasa ini, pelbagai cara boleh kita manfaatkan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru. Ia perkara mudah, namun tidak semudah itu untuk melakukannya.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap guru pada hari ini.

Katanya, kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu, seorang guru adalah individu yang begitu dihormati , agung darjatnya, dihormati dalam masyarakat, tetapi budaya berkenaan semakin berkurangan pada hari ini.

“Ahli masyarakat seharusnya memberi penghormatan yang tinggi kepada seorang guru walaupun kelulusannya tidak setinggi mana dibandingkan dengan mereka yang memiliki PhD dan sebagainya, tetapi ingat seorang guru itu umpama benih hingga kita mengecapi kejayaan seperti hari ini.

“Kita patut menghormati mereka seperti zaman datuk nenek kita dahulu, apabila datang ke kampung akan dilayan sebagai tetamu kehormat kerana dianggap orang yang penting dalam masyarakat.

“Oleh itu, pada hari ini kita sebagai anggota masyarakat tanpa mengira kumpulan perlu menghormati guru tanpa melemparkan kata-kata yang tidak menyenangkan, sebaliknya memberi pujian, sanjungan dan pengiktirafan,” katanya.

Mohammad Shatar juga berharap skim gaji guru dilihat dan dipertingkatkan berdasarkan peranan dan fungsi penting mereka dalam masyarakat selain penghargaan dan insentif dalam bentuk fizikal kepada guru dalam sebarang proses pentadbiran negara.

Jelas beliau, dalam konteks hari ini, guru diklasifikasikan seseorang yang diberi tauliah atau mandat oleh kerajaan atau pihak berwajib untuk melaksanakan tugas sebagai pendidik selepas mereka melalui proses pengajaran dari institusi pengajian tinggi yang setaraf.

Katanya, sudah pasti fungsi guru penting untuk mencapai kemakmuran, kemajuan dan kecemerlangan sesebuah masyarakat, bangsa dan negara.

“Tiada suatu masyarakat di dunia ini yang mampu maju tanpa adanya bantuan dan sokongan daripada guru. Fungsi guru teramat penting dalam semua aspek untuk sesebuah negara sama ada untuk kemajuan sosial, kemajuan spiritual, kemajuan emosi, ataupun kemajuan fizikal.

“Sudah pasti kemajuan intelektual berkait rapat dengan peranan guru. Masyarakat perlu sedar fungsi guru penting dan terlalu signifikan untuk kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara,” katanya.

Kata beliau, setiap individu di dunia ini akan melalui proses pengajaran daripada seorang guru, tanpa guru tidak akan mampu sesebuah masyarakat berdiri teguh sama ada di persada nasional atau antarabangsa.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 3:37pm
d