bestari

Kerjasama pintar

DALAM usaha memperkasakan kualiti graduan, Management and Science University (MSU) sebagai antara universiti terbaik di negara ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkenaan perkongsian data.

Perjanjian itu ditandatangani Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Presiden Perhubungan Industri MSU, Dr Abdul Jalil Ghazali. DOSM pula diwakili Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin dan Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi), Azahari Mohd Raslan.

Perjanjian yang dimeterai merangkumi kerjasama pintar membabitkan aspek pendidikan dan penyelidikan melalui perkongsian data dalam bidang statistik yang sudah dipersetujui.

Pada masa sama, MSU turut berperanan memperkasakan tahap kebolehupayaan modal insan di DOSM melalui pelaksanaan program khusus pascaijazah di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Selain itu, MSU dan DOSM turut bekerjasama dalam aspek analisis data dan penyelidikan, seterusnya berkongsi hasil analisis serta penemuan baru melalui pembentangan dalam seminar, bengkel, persidangan serta penerbitan ilmiah di peringkat ijazah sarjana muda dan pascasiswazah.

Kerjasama ini juga antara lain menyaksikan kedua-dua pihak bersama-sama membangunkan dan membuat penilaian kurikulum kursus sama ada di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) dan di MSU.

MSU memberi keutamaan kepada pendidikan berkualiti dan penggunaan kaedah pengajaran kreatif ke arah melahirkan graduan yang kompeten dan versatil. Program pengajian ditawarkan menjamin perkembangan kemahiran insaniah melalui pengalaman pembelajaran menyeluruh.

Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) menyaksikan kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 98.6 peratus dan adalah yang tertinggi dalam kalangan institusi pendididikan tinggi di Malaysia.

MSU memenangi anugerah ‘The Most Entrepreneurial Private University 2016’ serta disenaraikan sebagai Universiti Cemerlang sebanyak dua kali oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain itu, MSU turut mendapat penarafan lima bintang dalam Penarafan QS 2016 bagi pengajaran, kebolehpasaran, kemudahan, tanggungjawab sosial dan inklusif. - Fazurawati Che Lah

Disiarkan pada: May 29, 2017 @ 3:08pm
d