bestari

Hotel UTMKL

Oleh Fazurawati Che Lah

Selaras hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakkan universiti awam (UA) menjana pendapatan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan, pelbagai inisiatif dijalankan UA bagi tujuan itu.

KPT menyasarkan UA menjana 30 peratus pendapatan sendiri menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, dipetik sebagai berkata, sasaran itu selaras dengan hasrat yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang dilancarkan tahun lalu.

Pelan itu turut melaporkan kebergantungan universiti awam kepada kerajaan amat tinggi iaitu 90 peratus dan ia perlu dikurangkan sehingga 70 peratus.

Oleh itu, KPT menggariskan pelan tindakan dan garis panduan yang ada dalam ‘Purple Book’ - Program Transformasi Universiti supaya boleh digunakan oleh universiti awam dalam usaha menjana pendapatan.

Salah satunya melalui perniagaan penginapan bertaraf hotel yang kini menjadi trend universiti sebagai langkah menjana pendapatan sendiri sekali gus berupaya menggerakkan aktiviti universiti secara proaktif.

Di negara ini beberapa universiti turut menawarkan penginapan berkenaan antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Terbaru UTM Kuala Lumpur menawarkan kemudahan penginapan serba lengkap, selesa, moden dan bertaraf antarabangsa dengan membina Kompleks Penginapan Pelajar.

Kompleks yang dikenali Residensi UTMKL itu dibina dengan anggaran kos RM171.5 juta dan berupaya mendatangkan pulangan yang menguntungkan kerana ia di tengah ibu kota.

Biarpun UTM mempunyai Tabung Endowmen yang ditubuhkan sekitar 2009 berjaya mengumpulkan kira-kira RM57.7 juta daripada pelbagai sumber dana, namun dengan pembinaan kompleks itu, ia mengukuhkan lagi pendapatan UA itu.

Selaras dengan hasrat kerajaan itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Abdul Halim Ali berkata residensi itu antara sebahagian daripada pelan UTM bagi menjana pendapatan sendiri sekali gus mengurang kebergantungan kepada kerajaan.

Menurut beliau, bukan hanya ditawarkan kepada penuntut UTM, masyarakat luar turut berpeluang menginap di kompleks itu sama ada penginapan harian atau bulanan.

Katanya residensi itu akan memulakan operasinya awal Julai nanti dan setakat ini sebanyak 85 peratus ruang niaga sudah ditempah penyewa.

Selain daripada itu, UUM juga menyediakan kemudahan penginapan selesa untuk pelancong yang berkunjung ke sana iaitu di University Inn dan EDC Hotel and Resort.

EDC Hotel and Resort di kampus UUM, Sintok Kedah dibuka pada September 2007 berupaya menarik pengunjung antara 4,000 sehingga 5,000 penginap setiap bulan.

Terletak di tengah bandar Shah Alam, Selangor pula ialah Intekma Resort and Convention Centre (IRCC) di bawah UiTM turut berupaya menjana pendapatan kepada UA itu apabila jumlah pengunjung yang diterima melebihi 45,000 orang setahun.

Beroperasi sejak tahun 1996, IRCC menjadi pilihan ibu bapa untuk menginap di situ terutama ketika musim kemasukan pelajar baru dan majlis konvokesyen.

Jelas kewujudan penginapan bertaraf hotel mampu menjana pendapatan kepada universiti apabila prospek perniagaan itu bukan hanya dilihat kepada sewaan penginapan, malah pengurusan yang bijak mampu ‘menjual’ servis lain bagi terus mengembangkan perniagaan itu.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 12:58pm
d