bestari

Ilmu keselamatan di air

Oleh Fazurawati Che Lah

Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan seramai 336 orang mangsa lemas berlaku di seluruh negara pada tahun lalu.

Angka ini terus meningkat pada tahun ini dan secara purata hampir setiap hari berlaku kematian akibat lemas yang majoritinya adalah pelajar sekolah.

Kejadian lemas semasa mandi di pantai, kolam renang atau aktiviti perkhemahan sekolah sering berlaku terutama pada musim cuti persekolahan.

Ia boleh dikatakan satu isu yang serius kerana laporan menunjukkan kematian disebabkan lemas

berlaku hampir setiap minggu di negara ini.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula, purata kes kematian akibat lemas setahun bagi 2009 hingga 2013 ialah 596 kes dengan lokasi kejadian lemas tertinggi sepanjang tahun adalah di kawasan sungai atau tali air dengan purata 57 peratus kes berbanding lokasi lain.

Sementara 25 peratus lemas di pantai dan di tasik atau lombong dengan purata 12 peratus kes setiap tahun.

Kanak-kanak dan remaja adalah golongan mangsa paling ramai iaitu hampir 50 peratus daripada jumlah kematian sepanjang tahun.

Sehubungan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan usaha sama Open Learning Global (M) Sdn Bhd mengambil inisiatif mewujudkan kursus Keselamatan Air secara dalam talian dan aplikasi mudah alih di https://keselamatanair.com.my.

Objektif kursus atas talian ini untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat mengenai keselamatan berhampiran air, kemahiran asas menyelamatkan diri, mencapai peralatan yang ada untuk menyelamat, teknik menyelamatkan mangsa serta bertindak sewajarnya dalam situasi kecemasan akuatik.

Pensyarah Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Tengku Fadilah Tengku Kamalden, berkata terdapat pelbagai aspek keselamatan diri diterapkan dalam modul Keselamatan Air.

“Informasi itu perlu diketahui dan elakkan berandaian tiada apa yang berlaku jika pandai berenang.

“Jangan sangka air yang tenang tiada buaya dan jangan fikir mandi di pantai tiada hidupan yang berbahaya. Banyak perkongsian tip dan teknik dalam e-pembelajaran dan e-pengajaran oleh tenaga pengajar yang terlatih dan berpengalaman dalam isu keselamatan air,” katanya.

Kes kematian tertinggi mengikut kategori umur ialah kanak-kanak lima hingga 14 tahun dengan 693 kes diikuti 677 kes membabitkan remaja berusia antara 15 hingga 24 tahun.

Kejadian lemas boleh berlaku di kawasan badan air seperti air terjun, pantai, sungai, tasik, lombong, kemudahan akuatik seperti kolam renang hotel, kolam renang di kawasan rumah pangsa dan sebarang aktiviti rekreasi air.

Kematian akibat lemas boleh dielakkan jika langkah keselamatan yang secukupnya diambil dan dielakkan serta masyarakat mengambil berat akan keselamatan masing-masing.

Angka kematian boleh dibendung jika pelajar, guru, ibu bapa atau masyarakat didedahkan dengan ilmu Keselamatan Air.

Ilmu pengetahuan itu merangkumi bagaimana menyelamat diri dan kawan apabila berada di tempat yang berair, ketahui jenis air, peralatan yang boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa dan pelbagai lagi ilmu kefahaman keselamatan diri.

Bukan sahaja perlu mengetahui bagaimana teknik berenang, malah perlu didedahkan dengan kefahaman keselamatan diri apabila berada di tempat yang berair.

Menurut Dr Tengku Fadilah, salah satu modul yang menarik perlu diketahui ialah ketika berada di tempat aktiviti sukan air.

Katanya ramai dalam kalangan kita kurang kesedaran keselamatan diri, hak sebagai pengguna, keperluan memakai jaket pelampung air, teknik mendarat di tepi pantai dan perkara lain yang patut diketahui dalam kursus berkenaan.

“Jangan kita terlalu gembira tanpa mengambil kira keselamatan diri. Malang tidak berbau dan kejadian boleh berlaku tanpa di jangka.

“Faedah e-pembelajaran ini, pelajar akan berkongsi pengalaman sesama mereka, bertukar pendapat, komunikasi yang efektif bukan sahaja sesama guru bahkan sesama pelajar, mewujudkan komuniti, pendedahan yang luas mengenai sesuatu tempat hasil dari perkongsian ilmu, belajar secara fleksibel tanpa had masa dan belajar di mana-mana sahaja.

“Setiap modul disertakan dengan aktiviti yang menarik dan mudah di fahami yang bertujuan untuk mengetahui dan menguji tahap pemahaman pelajar.

“Teknik e-pembelajaran ini tidak akan membosankan pelajar, sebaliknya pelajar akan rasa situasi belajar yang menyeronokkan,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) Datuk Lee Lam Thye melalui artikel bertajuk Lindungi Malaysia Daripada Kes Lemas melahirkan kebimbangan dengan kadar kematian lemas dalam kalangan pelajar sekolah dan beliau mengesyorkan setiap sekolah di Malaysia mengadakan kempen keselamatan air.

e-Pembelajaran Keselamatan Air

• Mengenal pasti situasi berbahaya berhampiran air serta ketika melakukan aktiviti sukan air.

• Mengetahui ciri keselamatan yang patut diikuti ketika berada berhampiran dengan air.

• Mengetahui dan mengenal pasti kehidupan air yang merbahaya.

• Mengenal pasti dan membincangkan tips keselamatan ketika berhampiran dengan air.

• Mengurus dan mengatur langkah keselamatan secara berkumpulan dan bersendirian ketika berhampiran dengan air serta ketika melakukan aktiviti air.

• Memahami hak anda apabila berurusan dalam aktiviti rekreasi air.

• Membincang langkah yang perlu dibuat apabila berlaku kecemasan berkaitan dengan air.

• Membuat keputusan dan mengambil langkah yang bersesuaian bergantung kepada situasi atau kecemasan air yang dihadapi.

Faktor menyebabkan lemas

• Kurang waspada ketika berada di tempat yang berair

• Kurang pemahaman mengenai keadaan air,

• Tiada pendidikan serta kesedaran mengenai keselamatan air

• Ketidakupayaan menyelamatkan diri

• Kurang pengetahuan mengenai teknik atau menggunakan peralatan di sekeliling untuk menyelamatkan mangsa.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 12:48pm
d