bestari

Kejutan kehadiran perdana menteri

Kehadiran Perdana Menteri secara mengejut pada program Keusahawan dan Pengekodan SPARK, meggembirakan 45 pelajar sekolah yang mengikuti bengkel itu.

Malah kedatangan Datuk Seri Najib Razak itu menaikkan semangat peserta serta meningkatkan sifat kreatif mereka pada bengkel anjuran Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), bersempena dengan acara GREAT (Gabungan Rakan Usahawan Aspirasi Terhebat) Sabah 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif MAVCAP Jamaludin Bujang berkata SPARK bertujuan memperkenalkan pelajar sekolah kerajaan kepada bidang keusahawanan dan pembangunan melalui penekanan aspek pembentukan idea, pengesahan, penciptaan, pengekodan dan pitching.

Jelasnya peserta juga didedahkan penggunaan alat penciptaan seperti LiveCode untuk mencipta aplikasi yang dapat menukarkan sesebuah idea menjadi realiti.

“Pelajar terbukti bekerja keras dan bersemangat sepanjang program ini, selain menghasilkan idea-idea yang relevan dan inovatif.

“Merekalah bakat muda yang cemerlang dan kami gembira dapat menyediakan platform ini untuk memberi inspirasi kepada mereka melalui pendedahan yang lebih besar terhadap keusahawanan dan membantu mereka mengasah kemahiran bekerjaya dalam bidang pemprograman dan penciptaan aplikasi perisian yang kini sedang berkembang pesat.

“Ini selari dalam menyokong objektif kerajaan untuk mempercepat proses inovasi dan keusahawanan demi menyumbang kepada pembangunan negara kita,” katanya.

Antara aplikasi inovatif yang dicipta pada program itu ialah Pasar.com iaitu aplikasi yang membantu pengguna menempah barangan segar dari pasaran melalui dalam talian, selain Search and Go iaitu pengesan peribadi dalam bentuk pelekat untuk mengesan barangan kecil dalam radius 1kilometer (km) serta Fesyen DIY yang membantu pengguna untuk mereka cipta pakaian mengikut gaya peribadi.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 4:46am
d