bestari

Pengalaman di luar dewan kuliah

Oleh Fazurawati Che Lah

Cari pengalaman awal dan duit tambahan untuk beli keperluan pengajian.

Alasan itu tidak asing bagi penuntut pusat pengajian tinggi setiap kali tibanya cuti semester.

Bermula akhir Jun lalu hingga September depan, sebahagian besar penuntut universiti awam (UA) bercuti semester selama hampir tiga bulan.

Kerja sambilan yang dilakukan penuntut pusat pengajian tinggi, baik awam mahupun swasta, bukan lagi perkara asing sepanjang cuti itu.

Jika dilihat sekarang, memang ramai yang sanggup berhempas-pulas bekerja sambilan sama ada membaiki motosikal, komputer, berniaga di pasar malam, bekerja di restoran makanan segera, menjadi guru tuisyen atau apa sahaja asalkan 'masyuk.'

Soal rehat dan tidur, memang sudah lama diketepikan mereka yang nekad kerja ‘part time’ atau sambilan ini.

Walau penat sekalipun, siswa ini sudah tidak kisah. Lumrah kehidupan zaman sekarang. Walaupun pendapatan yang diraih hasil kerja sambilan itu tidaklah sebesar mana, sedikit sebanyak dapat digunakan untuk menampung kos sara hidup masing-masing.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) Pusat Komersial Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Ummi Salwa Ahmad Bustamam berkata, bekerja sambilan membantu penuntut menimba pengalaman yang tidak diperoleh di dewan kuliah.

Katanya. apa paling penting adalah siswa dapat mengisi masa lapang dengan bermanfaat.

Menurut beliau, selain mengumpul duit poket dan simpanan, pengalaman penting yang dapat diperoleh adalah dari segi perhubungan dan komunikasi dengan pelanggan atau orang awam serta menyiapkan tugasan dalam masa singkat.

“Mereka sebenarnya boleh mengambil peluang ini untuk membina jaringan untuk kemudahan akan datang. Antaranya adalah untuk mendapatkan tempat bagi menjalankan latihan industri kelak.

“Penuntut juga dapat mengasah kebolehan ‘interpersonal’ dan ‘softskill’ mereka yang sangat diperlukan selepas bergraduasi kelak. Hal ini berguna terutama sebagai persediaan menghadiri temuduga bekerja,” katanya.

Jelasnya lagi, dengan melakukan aktiviti itu juga, pergaulan siswa menjadi lebih luas dan sekali gus menjadikan mereka lebih matang berbanding rakan yang tidak pernah bekerja sambilan.

Kata Dr Ummi Salwa, tiada akta tertentu yang menghalang siswa tempatan untuk bekerja sampingan terutama ketika cuti semester.

Sebaliknya katanya, tempoh cuti semester yang agak lama iaitu lebih dua bulan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penuntut.

“Bagi yang tidak terbabit dengan aktiviti persatuan, adalah digalakkan menimba pengalaman dan mengasah ‘softskill’ dengan bekerja sambilan,” katanya.

“Pelbagai jenis pekerjaan yang ditawarkan, antaranya sebagai pembantu kedai, guru sementara atau tuisyen, pembantu taska, agen insurans atau berniaga secara atas talian,” katanya.

Syarikat yang banyak mengambil pekerja sambilan termasuk restoran makanan segera dan kedai 24 jam kerana kurang memerlukan kepakaran serta kemahiran tinggi.

Dr Ummi Salwa berkata terdapat juga penuntut yang berminat untuk bekerja di sektor keusahawanan sosial, misalnya Projek Nasi Lemak yang membantu golongan gelandangan dan ibu tunggal.

Bagaimanapun, Dr Ummi Salwa menasihatkan penuntut yang melakukan pekerjaan sambilan tidak hilang fokus hingga menjejaskan pengajian.

“Penuntut mungkin akan gelap mata apabila melihat wang yang diperolehi hasil kerja sambilan dan hilang fokus untuk meneruskan pengajian.

“Malah siswa yang mudah terpengaruh juga mungkin akan terjebak dalam masalah sosial misalnya menghisap rokok, dadah, terdedah kepada budaya ‘hedonisme’ melampau iaitu implikasi daripada pergaulan bebas ketika bekerja,” katanya.

Bagi Nur Dina Omaruddin, 26 yang kini menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau mula mencari pendapatan sampingan sebagai guru sambilan sejak setahun lalu.

“Saya sendiri mengajar murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di pusat tuisyen berdekatan di Bangi, Selangor,” katanya.

Nur Dina yang juga penuntut dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan Psikologi itu berkata, beliau cuba mengelak mengajar mata pelajaran lain selain Bahasa Inggeris.

“Saya kalau boleh nak fokus dalam satu mata pelajaran saja, tetapi jika ada keluarga anak murid minta mengajar Matematik, saya boleh mengajar tetapi perlu dielakkan supaya tidak keliru,” Katanya.

Pendapatannya sebagai guru sambilan membantu sedikit sebanyak pembiayaan yuran pengajian dan keperluan pembelajaran di universiti.

“Bagi penuntut yang selalu membuat kajian sudah tentu memerlukan banyak peruntukan kewangan. Alhamdulillah, berkat saya mengajar, duit itu membantu untuk pembiayaan yuran pengajian,”katanya.

Jelasnya, sekarang sukar untuk mencari pekerjaan walaupun selepas tamat pengajian, oleh itu beliau sedaya upaya mengambil peluang mengajar secara sambilan.

Katanya, tidak mahu membebankan keluarga yang selama ini banyak membantu dari segi kewangan.

“Umur semakin meningkat pada masa yang sama masih menuntut, jadi saya perlu pikul tanggungjawab untuk berdikari supaya tidak membebankan keluarga, “katanya.

Impiannya untuk membantu anak murid menguasai subjek Bahasa Inggeris sepenuhnya. Selepas tamat pengajian, Nur Dina akan terus membantu dan mencurahkan ilmu kepada anak muridnya.

Lain pula bagi penuntut Pengurusan Hotel di Akademi Hospitaliti dan Pelancongan Saujana, SATT College Kuching , Suliana Maulad Sutimin , 23, berkerja sebagai pembantu dapur di sebuah restoran yang diuruskan pensyarahnya.

Lebih selesa dengan panggilan Su, dia korbankan cuti semester dengan membantu menguruskan dapur untuk mencari wang lebih.

“Saya bekerja selama enam jam sehari dan masa yang terluang hanya di tempat kerja jika tidak ada kelas,” katanya.

Su mencari pendapatan lebih bagi melengkapi keperluan makan dan minum ketika berada di kolej.

“Saya tinggal di rumah sewa, kadar bayaran sewa rumah pun mahal, tambah pula dengan harga barang pengajian meningkat, disebabkan itu saya mencari kerja sambilan,” katanya yang kini berada di semester lima.

Selain menjadi pembantu di dapur, Su juga mendapat komisen dengan menjual kerepek secara dalam talian perniagaan keluarganya secara kecil-kecilan.

“Walaupun mereka ada memberi wang saku pembelajaran, ia tetap tidak mencukupi, jadi saya manfaarkan teknologi dengan menjual kerepek dalam talian, dengan itu juga saya mendapat komisen daripada hasil jualan,”katanya.

Baginya tidak sukar untuk membiayai perihal pengajian, sebaliknya penuntut perlu cari pendapatan sampingan dan pandai menguruskan masa ketika kuliah.

“Walupun masih menuntut, mencari duit poket sendiri dan menimba ilmu serta memiliki pengalaman bekerja tidak menjadi masalah.

“Paling penting, selesai sahaja pengajian kelak, pengalaman bekerja ketika belajar boleh dipraktikkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 4:51am
d