bestari

UIAM himpun penyelidik sedunia

IIUM World Prosumer Covention 2017 berjaya mengumpul penyelidik di seluruh dunia bagi mempamerkan produk masing-masing.

Program anjuran Pejabat Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berlangsung selama empat hari.

Ia bertujuan memberi peluang kepada pensyarah dan mahasiswa untuk mengetengahkan hasil penyelidikan mereka.

Lebih 50 produk tempatan dan antarabangsa hasil penyelidikan pensyarah serta mahasiswa dipamerkan.

Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata, penganjuran itu adalah inisiatif Pejabat Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) untuk mengumpulkan semua penyelidik seluruh dunia supaya produk dan hasil penyelidikan yang dilakukan boleh dipasarkan serta memenuhi permintaan pengguna.

“Menerusi penggunaan teknologi dan inovasi, setiap produk yang dihasilkan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Penyelidik boleh menjadi usahawan apabila produk mereka mendapat perhatian pengguna,” katanya ketika berucap pada Program IIUM World Prosumer Covention 2017 di Pusat Kebudayaan, UIAM, baru-baru ini.

Prosumer juga menjadi platform pertemuan antara penyelidik dan pihak industri untuk mencari peluang serta ruang supaya produk mereka boleh diketengahkan selain dikomersialkan.

Majlis itu dirasmikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPT), Datin Dr Siti Hamisah Tapsir.

Turut hadir, Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Rahmah Ahmad H Osman dan Pengerusi Prosumer 2017, Prof Dr Mohamed Ridza Wahidin.

Pada program itu juga, Institut Latihan dan Penyelidikan Halal UIAM (INHART) turut mengadakan Persidangan Halal Antarabangsa 2017 bagi mengumpulkan penyelidik dari semua universiti awam (UA) yang mempunyai teknologi dan penyelidikan halal untuk memberi sumbangan kepakaran mereka.

Selain itu, semua fakulti turut menganjurkan program prosumer antaranya ‘Pitch your Product’ membabitkan pelajar sekolah yang menghasilkan produk boleh dipasarkan.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 1:34pm
d