bestari

Tiga terima biasiswa Panasonic

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Tiga penuntut universiti tempatan dipilih sebagai penerima Biasiswa Panasonic daripada Kumpulan Syarikat Panasonic di Malaysia.

Biasiswa yang diberikan kepada penuntut pengajian ijazah sarjana muda itu disampaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Penerima terdiri daripada penuntut kejuruteraan mekanikal dari Universiti Malaya, Ernest Yoong Gar Hon, penuntut kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia, Nur Farizatul Syazrin Talaha dan penuntut kejuruteraan elektronik dari Universiti Sains Malaysia, Shum Kar Yen.

Program biasiswa berkenaan adalah sebahagian usaha Panasonic untuk menyumbang secara intelektual dan akademik kepada masyarakat.

Turut hadir pada majlis penyampaian biasiswa itu, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Jenama Kumpulan Panasonic Corporation, Rika Fukuda.

Beliau berkata, biasiswa itu diwujudkan bagi memantapkan sistem sumber manusia yang maju dan seterusnya menyokong pembangunan Malaysia.

“Sejajar dengan falsafah pengasas kami, Panasonic memberi tumpuan utama kepada aktiviti bertujuan menamatkan pelbagai bentuk kemiskinan dan ketidaksamaan yang wujud di negara maju serta negara membangun.

“Dengan mempromosikan pelbagai aktiviti fokus kepada pembangunan insan, tawaran peluang dan persefahaman bersama, kami berusaha setiap masa ke arah masyarakat bermuafakat iaitu sesiapa saja berpeluang menikmati kelebihan pendidikan setinggi yang boleh.

“Biasiswa Panasonic ini salah satu aspek daripada usaha kami untuk memupuk pembangunan insan cemerlang dengan menyokong setiap penuntut yang berkata ‘saya mahu belajar’,” katanya pada majlis yang diadakan, baru-baru ini.

Program Biasiswa Panasonic diwujudkan pada 1988 sebagai salah satu inisiatif syarikat berkenaan menyumbang kepada masyarakat dan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Biasiswa berkenaan terbuka kepada penuntut yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di universiti tempatan.

Mereka yang berminat mengetahui maklumat lanjut mengenai Biasiswa Panasonic boleh menghubungi pegawai bertugas, Chong Mong Yih di alamat Pejabat Biasiswa Panasonic Malaysia, Panasonic Management Malaysia Sdn Bhd, Lot 10 Jalan 13/2, 46200 Petaling Jaya, Selangor atau menerusi e-mel, mongyih.chong@my.panasonic.com.

Pegawai berkenaan juga boleh dihubungi menerusi panggilan telefon di talian 03-7953 3624.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 1:36pm
d