bestari

Pastikan anak selamat

Oleh Fazurawati Che Lah

Menurut kajian yang dijalankan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) didapati penggunaan topi keledar kanak-kanak berlabel SIRIM, kira-kira tiga peratus saja dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

Sementara bakinya 97 peratus tidak mendapat perlindungan keselamatan yang sepenuhnya ketika membonceng motosikal apabila 37 peratus mengunakan topi keledar dewasa, 24 peratus menggunakan topi keledar permainan dan bakinya 36 peratus pula tidak menggunakan sebarang topi keledar.

Kumpulan 97 peratus inilah kumpulan sasaran program Vaksin Pencegah Kecederaan Kepala Pengguna Motosikal oleh Safe Kids Malaysia UPM.

Melalui program itu juga, Safe Kids Malaysia yang diketuai Profesor Madya Dr Kulanthayan selaku Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia UPM memenangi Anugerah Kecemerlangan Komunikasi Peringkat Antarabangsa di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Kejayaan itu sekali gus mengalahkan lebih 400 organisasi dari 30 negara untuk dinobatkan sebagai organisasi yang cemerlang dalam menyampaikan maklumat dan pengetahuan dalam bidang kesihatan dan keselamatan kanak kanak kepada masyarakat, industri, agensi kerajaan serta komuniti akademik.

Anugerah itu disampaikan Pemangku Presiden dan Pegawai Eksekutif Safe Kids Worldwide USA, Torine Creepy ketika Persidangan Safe Kids Worldwide di Baltimore, Maryland, USA yang berlangsung pada 26 sehingga 29 Julai lalu.

Turut hadir ketika majlis penyampaian anugerah, Ketua Pegawai Pemasaran Safe Kids Worldwide USA, Martha Wilcox.

Anugerah Kecemerlangan Komunikasi itu dihadiahkan setiap dua tahun sekali dan penilaiannya berasaskan prestasi organisasi dalam menyampaikan maklumat dan pengetahuan keselamatan kanak-kanak kepada orang ramai terutamanya masyarakat yang menjadi pengguna utama barangan dan perkhidmatan.

Menurut Dr Kulanthayan, asas utama kejayaan Safe Kids Malaysia UPM ialah penggunaan pendekatan media secara tradisional dan sosial serta sesi bersama pengguna sebagai proses berkomunikasi.

“Kita menggunakan media cetak, televisyen, radio dan majalah dalam kategori media tradisional serta Facebook serta WhatsApp bagi kategori media sosial.

“Di samping itu, kami juga mencuba inovasi baru dengan menghantar pesanan ucapan majlis atau perayaan dengan pesanan keselamatan jalan raya.

“Sebagai organisasi akademik, segala hasil penyelidikan, kami berkongsi dengan komuniti melalui pelaporan dalam jurnal, kertas persidangan dan seminar serta dalam bentuk buku laporan.

“Inovasi tambahan yang kami perkenalkan ialah dengan meringkaskan maklumat dalam buku laporan kepada video 160 saat untuk kefahaman masyarakat umum dengan pantas dan padat,” katanya.

Katanya klip video itu dikongsi di laman web organisasi, di YouTube serta disebarkan secara meluas melalui WhatsApp.

“Melalui kaedah ini, kami percaya mesej dan maklumat kesihatan dan keselamatan kanak kanak ini dapat disebarkan dengan lebih meluas lagi,” katanya.

Menurut Dr Kulanthayan lagi, Safe Kids Malaysia dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia melancarkan program Inisiatif penggunaan topi keledar kanak-kanak bagi mengurangkan bilangan kecederaan dan kematian dalam kalangan warga itu sebagai pembonceng motosikal.

“Justeru, topi keledar kanak-kanak ini dilihat sebagai ‘Vaksin Pencegah Kecederaan’ Kepala bagi pembonceng motosikal.

“Melalui inistiatif ini, pihak UPM membekalkan secara percuma Topi Keledar Kanak-Kanak (berlabel SIRIM) melalui penajaan yang diterima daripada Safe Kids Worldwide USA dan Halliburton Charitable Foundation, USA sebanyak 1,500 topi keledar.

“Ini bagi memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan yang sepenuhnya daripada topi keledar yang sesuai dan berpiawaian,” katanya.

Bagi tujuan itu, kanak-kanak dari sekolah di sekitar Hulu Langat dan Petaling Perdana dipilih untuk menerima topi keledar percuma.

Menurut Dr Kulanthayan, inisiatif Safe Kids Malaysia UPM dan JKJR Malaysia berkenaan juga seiring dengan hasrat untuk mencapai sasaran Sustainable Development Goal (SDG) 3.6 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus kematian jalan raya menjelang 2020 serta SDG 11.2 yang menyentuh penambahbaikan keselamatan jalan raya bagi golongan kanak kanak menjelang 2030.

Jelas beliau, menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia, bilangan kemalangan jalan raya di Malaysia berjumlah 521,446 kes dengan jumlah kematian sebanyak 7,152 bagi tahun 2016.

Berasaskan angka kematian tahun 2015, 62.6 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Sebanyak 56.4 peratus daripada kematian pengguna motosikal adalah disebabkan kecederaan kepala sebagai penyumbang utama kematian.

“Ini diikuti dengan kecederaan pelbagai sebanyak 29.6 peratus.

“Ini membawa maksud, kematian disebabkan kecederaan kepala antara 56.4 hingga 86 peratus kerana dalam kecederaan pelbagai, ada kemungkinan termasuk kecederaan kepala.

Katanya, produk keselamatan yang efektif untuk mengelak dan mengurangkan kecederaan dan kematian bagi seorang penguna motosikal adalah topi keledar keselamatan.

Katanya, topi keledar keselamatan motosikal berkemampuan mengurangkan risiko dan tahap kecederaan sebanyak 72 peratus serta mengurangkan kebarangkalian kematian sehingga 39 peratus.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 11:51am
d