bestari

Tak sangka juara

Oleh HM Digital

“Kami bertiga mengambil masa dua hari saja untuk menyiapkan robot ini,” kata ketua pasukan KVS3P1, Muhammad Zulhusni Mohd Zain yang mewakili Kolej Vokasional Seberang Perai Pulau Pinang selepas muncul johan Pertandingan Robot Sumo Politeknik di Politeknik Seberang Perai (PSP), Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Muhammad Zulhusni, 18, yang juga pelajar bidang elektronik berkata, dia bersama dua rakannya, Muhamad Zarif Sukri, 18, dan Muhamad Hafiz Jasme, 18, tidak menyangka muncul johan memandangkan jangka masa persiapan dilakukan mereka agak singkat.

Dia berkata, mereka mengambil kursus Sumo Robot selama sehari di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, Kedah dan terus mereka cipta robot dinamakan ‘Critical Error’ selama dua hari saja dengan bantuan dan bimbingan pensyarah, Norhayati Abdul Rahman serta Roslinda Roslan.

“Critical Error memiliki kekuatan dari segi kelajuan dan berat serta cengkaman roda kuat hingga membuatkannya sukar ditolak pihak musuh, sekali gus sukar ditewaskan dan muncul johan.

“Ini kejayaan pertama buat pasukan ini dan kami berharap dapat menyertai sekali lagi pertandingan sebegini pada masa akan datang untuk menghasilkan produk inovasi lebih bermutu,” katanya selepas menewaskan pasukan MRSM KULIM 6 yang mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kulim.

Dia berkata demikian selepas Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PSP, Mohamad Fadzil Basir Ahmad merasmikan Majlis Penutup Program National Competition, Innovation & Invention On Robotic & Embedded System 2017 (NIRES 17) dan Pertandingan Robot Sumo Politeknik.

Sementara itu, Mohamad Fadzil berkata, program NIRES 17 terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertandingan Sumo Robot dan Inovasi.

Beliau berkata, pertandingan robotik itu pertama kali diadakan di peringkat Politeknik Malaysia bagi memupuk minat dan kemahiran berinovasi membina robot mantap dan pada masa sama memenuhi spesifikasi ditetapkan.

“Pertandingan inovasi pula mencabar minda pensyarah dan pelajar untuk menghasilkan produk inovasi berasaskan penggunaan platform elektronik dan ‘microcontroller seperti Arduino atau Raspberry Pi untuk sesuatu aplikasi atau alat bantuan pengajaran dan pembelajaran.

“Sambutan penganjuran program selama dua hari ini begitu menggalakkan dan membabitkan penyertaan hampir 100 kumpulan dari 17 institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk politeknik, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Institut Teknikal Jepun-Malaysia, Kolej Vokasional dan MRSM,” katanya. - Muhammad Shalaby Shahbuddin

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 1:16pm
d