bestari

Tiup semangat patriotik [METROTV]

Oleh HM Digital

Sempena sambutan Hari Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar, Kota Tinggi, Johor mengadakan acara mewarna batik canting peringkat sekolah.

Seramai 1,000 pelajar terbabit termasuk 15 penuntut pendidikan khas dalam program yang diadakan serentak di pekarangan sekolah itu 14 September lalu.

Program yang diselaraskan panitia Pendidikan Seni Visual, Panitia Sejarah serta Kelab Seni dan Kebudayaan itu bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.

Aktiviti itu acara kedua terbesar membabitkan sambutan Hari Malaysia selepas program menghias dinding dengan lukisan 'doodle' di seluruh sekolah yang diadakan dua tahun lalu.

Penyelaras program dan guru Pendidikan Seni Visual Roz Foad Abu Dardak berkata, objektif utama penganjuran program adalah untuk menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar.

“Program seumpama ini bukan saja mengajak pelajar untuk lebih menghayati seni tapi pada masa sama menghargai khazanah atau kraf tangan tempatan.

“Melalui penghayatan terhadap kesenian tempatan itu negara juga diharap dapat menanam rasa cinta pada negara serta menaikkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

“Motif yang diketengahkan pada batik canting itu juga sedikit berbeza dan sesuai dengan penghayatan Hari Malaysia seperti bunga raya, mercu tanda terkemuka serta Jalur Gemilang,” katanya.

Acara yang dirasmikan Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi Zamri Safri itu turut dihadiri pengetuanya Farzeli Che Mat Mustafa dan disertai 80 guru serta kakitangan sekolah.

Majlis penyampaian hadiah dijalankan pada penghujung program selepas memilih hasil warna terbaik dan semua pemenang menerima hamper.

Tiga pemenang dipilih untuk setiap kategori iaitu menengah rendah, menengah atas, guru dan kakitangan.

Roz berkata, hasil sambutan dan pembabitan pelajar yang menggalakkan juga mendorong sekolah menganjurkan acara seumpama itu pada masa akan datang.

“Sambutan dan maklum balas positif daripada pelajar serta warga sekolah juga menimbulkan idea untuk menjalankan program kesenian seperti ini pada masa hadapan.

“Kami merancang meluaskan penganjurannya dengan membabitkan masyarakat setempat, organisasi dan pihak berkuasa tempatan,” katanya. -Nor Hanisah Kamaruzaman

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 2:54pm
d