bestari

Jadilah mahasiswa luar biasa!

Oleh Fazurawati Che Lah

Bermula 26 Ogos lalu, universiti awam (UA) menerima tetamu baru bagi sesi 2017/2018 menjadikan kampus masing-masing lebih bervariasi dan berseri.

Malah kepulangan anak musafir ilmu ke kampus selepas cuti semester turut menghidupkan keceriaan gedung ilmu dan masyarakat sekitarnya.

Namun, adakah siswa dan siswi baru mendaftar atau penuntut sedia ada yang kembali meneruskan sambungan siri pengajian sedar pukulan ombak mutakhir ini berbeza daripada kebiasaan dan lain macam bunyinya?

Adakah dengan sikap sebilangan siswa dan siswi yang berfahaman universiti mesti menjanjikan peluang pekerjaan akan memberi manfaat kepada mereka?

Adakah juga sikap sebahagian yang hanya ingin lulus peperiksaan akan mampu menjadikan mereka bersedia dengan pelbagai cabaran?

Inilah antara persoalan utama yang begitu membimbangkan kerana perkara yang menguatkan denyut nadi kita adalah dunia VUCA! Dunia penuh dengan ‘volatility,’ ‘uncertainty,’ ‘complexity’ dan ‘ambiguity.’

Jika ditelusuri, VUCA adalah akronim yang digunakan tentera Amerika Syarikat untuk menggambarkan keadaan ekstrem di Afghanistan dan Iraq serta berkait juga dengan impak diterima daripada Perang Dingin.

VUCA juga mempunyai perkaitan rapat dengan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 (IR 4.0) yang kini giat dibicarakan oleh pelbagai pihak.

Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik & Perhubungan Korporat) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Madya Dr Afandi Ahmad berkata mutakhir ini, segenap penjuru diskusi majlis ilmu pelbagai peringkat berbicara mengenai IR 4.0.

Bagaimanapun, katanya, kedengaran irama IR 4.0 lebih kuat ‘dipalu’ di peringkat pengajian tinggi, industri dan pemutus dasar negara.

Hal ini lebih digamatkan apabila katanya dalam konteks mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT), pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) jelas mengambil pelbagai usaha berterusan dan tindakan proaktif ke arah menyediakan produk berkualiti oleh universiti.

Jelasnya menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (Pengajian Tinggi) dan gagasan ‘redesigining higher education’ yang dibentangkan dengan jelas oleh Menteri Pendidikan Tinggi dalam Amanat Warga Pendidikan Tinggi Tahun 2017 yang lalu.

Katanya, isu pengangguran misalnya adalah ancaman besar dan menggerunkan. Apabila Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melaporkan hingga September 2016, hampir 40,000 pekerja diberhentikan selain masing masing 44,000 dan 25,917 orang pada 2015 serta 2014, ini petunjuk jelas sesuatu yang jauh lebih mencabar sedang dan akan terus berlaku.

“Ini juga memberikan mesej kaedah semasa dan terdahulu perlu disemak serta ditambah nilai bagi memastikan produk yang dihasilkan terus dihormati, dirujuk dan relevan.

“Apabila Industri 4.0 menjengah dengan perkara utamanya berkisar berkenaan sistem siber fizikal, nampaknya kita terpaksa mengalah dan mengakui persiapan yang lebih rapi mesti dibuat,” katanya.

Klaus Schwab, iaitu pengasas dan Pengerusi Eksekutif World Economic Forum (WEF) dengan jelas dalam karyanya berjudul The Fourth Industrial Revolution memberikan amaran IR 4.0 bakal membawa gelombang perubahan kepada gaya hidup dan cara kita bekerja.

Suka atau tidak, sekarang atau nanti, masanya sudah tiba dan ini menuntut tindakan yang strategik diambil.

Dijelaskan juga rambatan gelombang perubahan ini dijana menerusi tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal.

Dr Afandi yang juga pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Komputer berkata, mengambil kira saranan WEF, siswa dan siswi di universiti hari ini mesti diperkukuhkan tiga asas utama dalam diri merangkumi literasi asas, kompetensi dan kualiti watak.

Menjelaskan lebih lanjut, literasi asas bermaksud bagaimana penuntut itu mengaplikasikan kemahiran asas dalam kehidupan seharian.

Katanya, elemen yang mesti menjadi asas kuat dalam diri siswa dan siswi merangkumi literasi, perangkaan, saintifik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kewangan serta sivik dan kebudayaan.

“Jika diperhalusi, semua bentuk literasi asas ini begitu signifikan kerana ini akan membezakan antara mahasiswa yang maju atau mundur.

“Contohnya, dengan kepesatan teknologi maklumat, celik IT bukan lagi matlamat utama, tetapi mahir IT itu yang akan menentukan siapa di depan dan siapa di belakang,” katanya.

Dr Afandi berkata, asas kompetensi merujuk bagaimana penuntut mendepani kerumitan yang mencabar iaitu mempersiap diri dengan dunia VUCA dan IR 4.0.

Oleh itu, elemen 4C menjadikannya pencirian kompetensi utama yang mesti dimiliki penuntut iaitu ‘critical-thinking problem solving,’ ‘creativity,’ ‘communication’ dan ‘collaboration.’

“Kepincangan akan berlaku andai graduan yang dilahirkan tidak boleh berfikir secara kritis, berfikir singkat di dalam kotak, tidak kreatif dalam menyelesaikan masalah dan lebih malang lagi jika mereka tidak pun boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak lain.

“IR 4.0 memerlukan individu yang luas tetapi berprinsip supaya mereka boleh mengetuai apa-apa tugasan dengan strategik.

“Di universiti, 4C tidak hanya boleh dimiliki jika rutin siswa dan siswi hanya pergi dan pulang ke dewan kuliah. Jika begitu, barangkali yang hanya diperkukuhkan ialah aspek kognitif, sementara komponen afektif dan psikomotor terbiar hancur.

“Sedangkan dalam dunia pekerjaan yang kompleks kita bukan saja mahu pekerja hebat sebagai ketua, tetapi juga boleh menjadi ahli pasukan berkesan,” katanya.

Jelas beliau, tidak sukar menajamkan kemahiran 4C ini, asal dalam diri berjiwa besar dan sukakan cabaran.

“Sertailah pelbagai aktiviti di universiti seperti menganggotai pasukan debat, kelab robotik, kepemimpinan kolej kediaman, bersukan dan banyak lagi. Buang semua alasan di luar pagar universiti, agar anda menjadi insan terpuji,” katanya.

Manakala bagi asas kualiti watak pula merujuk bagaimana penuntut mendepani perubahan persekitaran terus berlaku tanpa boleh ditahan-tahan.

Katanya, siswa dan siswi mesti menyediakan senarai semak bagi membolehkan mereka sentiasa mengukur kualiti watak masing-masing.

“Antara kualiti watak yang perlu diberikan fokus ialah sikap ingin tahu yang mendalam, keinginan mengambil bahagian yang tinggi, mempunyai daya tahan dan ‘selera pencapaian’ positif yang hebat, bijak menyesuaikan diri, mahir sebagai pemimpin dan ahli pasukan selain memiliki kesedaran sosial serta budaya tinggi.

“Selepas tamat pengajian di universiti, mahasiswa tidak lagi boleh memasakkan dalam minda ijazah yang ada jaminan mendapatkan kerja.

“ Transformasi minda mesti mereka lakukan daripada ‘job-seeker’ kepada ‘job-creator’. Ini juga selari dengan lonjakan pertama dalam PPPM (PT) yang menginginkan mahasiswa yang dilahirkan itu bersifat holistik, menyeluruh dan berciri keusahawanan,” katanya.

Katanya, dalam pada itu, siswa dan siswi tidak lagi boleh memikirkan mereka hanya akan bekerja di Malaysia sahaja.

“Dengan cabaran globalisasi yang semakin menggila serta kualiti pendidikan di Malaysia yang bertaraf antarabangsa, bertebaranlah semuanya di serata dunia.

“Biarlah dicampak ke laut menjadi pulau, dibaling ke langit menjadi bintang. Sebab inilah memiliki kesedaran sosial dan budaya yang tinggi itu penting, supaya apabila menyertai organisasi antarabangsa, kita cekap mendepani cabarannya,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 2:58pm
d