bestari

SMKA Maahad Hamidiah juara memanah

Oleh Maria Uffa Zulkafeli

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah Kajang, Selangor dinobatkan sebagai juara Mahrajan Memanah Institusi Pendidikan Islam (IPA) peringkat Negeri Selangor, baru-baru ini.

Pertandingan kali kesembilan yang diadakan selama empat hari itu disertai 23 sekolah menengah agama dari seluruh Selangor.

Pasukan SMKA Maahad Hamidiah menjadi johan keseluruhan (kategori super) dengan meraih mata sebanyak 518 berbanding pesaing terdekat iaitu Sekolah Agama Menengah (SAM) Bandar Baru Salak Tinggi dengan pungutan 506 mata.

Pengetuanya, Md Yusof Rahim berkata, kejayaan pasukan itu adalah hasil latihan intensif dan kerjasama padu yang ditunjukkan seluruh pasukan, jurulatih dan ibu bapa pelajar.

Beliau berkata, komitmen yang dipamerkan setiap pemain sangat membanggakan, termasuk disiplin dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan memanah berlangsung.

“Terima kasih kepada ibu bapa pelajar yang sanggup menyumbangkan sebahagian daripada peralatan memanah bagi memastikan anak masing-masing dapat berlatih dan memberikan persembahan yang membanggakan,” katanya.

Md Yusof berkata, buat masa ini pasukan berkenaan turut mempersiapkan diri untuk menyertai beberapa siri pertandingan di luar negara termasuk di China dan Australia tahun depan.

Katanya, terdapat juga beberapa ahli pasukan memanah sekolah itu yang pernah mewakili negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini.

“Itu antara kelebihan pasukan sekolah ini dan saya berharap pemain akan terus menunjukkan bakat dan kebolehan memanah masing-masing pada masa akan datang dan mengharumkan nama sekolah bukan saja di peringkat negeri dan kebangsaan, malah antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 11:56am
d